7 pembuli MRSM disyorkan dibuang, cadang jawatan warden sepenuh masa. 'Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya merayu'

Iklan

KES buli bagaikan tak berkesudahan. Berhubung video tular melibatkan sekumpulan pelajar di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), polis Pulau Pinang membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menerusi satu perkongsian, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan tujuh pelajar didapati terlibat dalam insiden tersebut. Malah, Jawatankuasa Disiplin Maktab mengesyorkan kesemua pelajar terlibat ditamatkan pengajian dari MRSM.

Iklan
Iklan

"Keputusan kes buli MRSM: Jawatankuasa Disiplin Maktab: Tujuh didapati terlibat, dua terlibat buli fizikal manakala lima bersubahat.

"Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM," kongsi beliau.

Iklan

Jelas Ashraf, tindakan tegas ini menunjukkan pihak MARA serius dalam menangani isu buli seperti mana yang ditekankan pengerusi MARA sebelum ini.

Iklan

Beliau juga tidak bersetuju untuk memberikan peluang kedua kepada pelaku kerana dari awal beliau sudah mengingatkan pelajar mengenai prinsip #YouTouchYouGo.

"Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.

"Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu.

"Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini. #youtouchyougo #tiadatempatuntukpembuli #mrsmbebasbuli," kongsinya.

Ujarnya, tiada tempat untuk pembuli di mana-mana institusi pendidikan MARA termasuk MRSM.

WARDEN SEPENUH MASA

Beliau juga mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa bagi memberikan perhatian kepada penerapan disiplin pelajar di asrama.

"Semalam juga saya adakan perbincangan dengan Ketua Pengarah MARA untuk memastikan budaya buli ini dapat dikekang sepenuhnya.

"Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan Warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.

"Warden ini boleh dilantik melalui proses temuramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara Tentera mahupun polis yang punya keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama," katanya.

Terdahulu, klip video tersebut telah ditonton lebih 710,000 pengguna media sosial, 1,000 komen dan 445 perkongsian di aplikasi Facebook.

Rakaman video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli di sebuah MRSM di Pulau Pinang itu adalah kejadian lama yang berlaku pertengahan tahun lalu.

Siasatan awal mendapati, kejadian yang membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun itu berpunca daripada bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.

AKAN DIRUJUK KE TIMBALAN PENDAKWA RAYA – POLIS

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, satu kertas siasatan telah dibuka selepas klip video berkenaan tular di media sosial Facebook.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan). Siasatan adalah secara holistik dengan mengambil kiri semua aspek.

"Kes akan dirujuk kepada pendakwa raya setelah siasatan selesai dijalankan. Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya di sini.

Menurutnya, pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya tampil memberi keterangan.