PENGENALAN jentera roda dua versi elektrik (EV) yang kini semakin memenuhi pasaran global, khususnya negara Asia dilihat berjaya memikat minat golongan wanita.
Boleh jadi keunikan reka bentuk yang bergaya, selain penjimatan bahan api, mesra alam dan harga jualan, merupakan antara faktor dominan yang mendorong lonjakan pertumbuhan industri tenaga hijau tersebut.
Menurut autoevolution.com, konsep mini, mewah dan keterhubungan teknologi antara tarikan yang tidak boleh dinafikan untuk menarik perhatian generasi muda.
Lebih memberi impak kepada jualan motosikal versi futuristik berkenaan ialah penurunan kos bateri, ekosistem stesen pengecasan dan teknologi pengurusan bateri yang semakin baik.
Dalam senarai panjang model motosikal mini berkuasa elektrik yang menjadi tumpuan dunia, SinarPlus kongsikan lima jentera terbaik untuk si genit. Berikut perinciannya:
1. Can-Am Pulse
- Harga: Bermula RM61,973
- Keluaran: Bombardier Recreational Products Inc
- Negara: Kanada
Ia memiliki kuasa maksimum 47 kuasa kuda dengan tork 72 Nm, bermula daripada pecutan hingga 4,600 RPM serta mampu bertahan untuk perjalanan sejauh 160 kilometer (km).
2. Stark Varg EX
- Harga: Bermula RM57,096
- Keluaran: Stark Future
- Negara: Sepanyol
Selain kuasa maksimum 80 kuasa kuda dengan tork 938 Nm, model seberat 187kg itu mampu bertahan untuk tempoh perjalanan enam jam tanpa henti.
3. KTM Freeride E 2025
- Harga: RM52,228
- Keluaran: KTM Freeride
- Negara: Austria
Hanya seberat 109kg, ia memiliki kuasa puncak 19.2 kW dengan tork 37 Nm yang mampu bertahan dalam tempoh perjalanan hingga tiga jam.
4. Zero XE
- Harga: Bermula RM28,752
- Keluaran: Zero Motorcycles
- Negara: Amerika Syarikat
Berat hanya 101kg dan mampu bergerak sejauh 100km dengan kelajuan mencecah 75 kilometer sejam.
5. Royal Enfield Flying Flea
- Harga: Bermula RM10,622
- Keluaran: Royal Enfield
- Negara: India
Rekaan kerangka aluminium yang utuh tetapi ringan dan ciri penyejukkan bateri lebih cepat.
Hanya menggunakan telefon pintar sebagai kunci dengan bantuan navigasi dengan butang Voice Assist.