KALAU anda peminat kereta jenis utiliti sukan (SUV) yang bergaya, berkuasa dan sarat teknologi, berita ini boleh buat kalian tersenyum lebar.
Proton baru jer memperkenalkan model X50 terbaharu yang tersedia tiga varian iaitu Executive, Premium dan Flagship itu tampil dengan desain lebih sharp. Paling best, boleh faham bahasa kita!
Yes, ini bukan gurauan. Buat pertama kalinya, SUV segmen-B versi serba baharu tersebut dikemas kini dengan pengecaman suara (VR) dalam Bahasa Melayu.
Lagi gempak, jentera moden tersebut lengkap dengan ciri ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf dan sistem IHU yang dipertingkatkan dengan skrin besar 14.6 inci.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Zhang Qiang berharap Proton X50 dapat meneruskan legasi kecemerlangan model dengan penawaran peningkatan teknologi dan prestasi menyeluruh.
“Dengan evolusinya yang dipacu inovasi, PROTON X50 terbaharu akan mengukuhkan kedudukan jenama yang kuat buat pelanggan yang mencari pengalaman pemanduan yang terhubung dan diyakini,” katanya.
Apa lagi yang membuatkan kalian teruja? Selain kekemasan gril dan bampar depan baharu, spoiler belakang juga nampak lebih garang dengan rim aloi rekaan terkini serta paduan empat saluran ekzos.
Warna baharu Teal Bayou Green memang nampak mewah! Paling syok, ada peningkatan 4.7 peratus dalam kecekapan bahan api sekali gus anda boleh jimat minyak.
Bahagian dalaman kenderaan juga telah dinaik taraf dengan ketara untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih premium.
Bukan itu sahaja, turut tersedia konsol lantai terapung, lampu suasana 72 warna dan column shifter yang diinspirasikan daripada kereta mewah, sistem infotainmen sokong Android Auto dan Apple CarPlay, Sistem Bantuan Parkir Automatik (APA) Pintar serta banyak lagi.
Yang penting, Proton X50 masih kekal dengan penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP.
Jadi, kalau anda minat SUV yang bukan saja cantik luar dalam, malah mesra teknologi dan selesa sekeluarga, brand lokal popular ini patut ada dalam wishlist kalian.