‘Kawan-kawan dikurung di atas. Tak boleh keluar.' Luahan anak yatim ini bongkar kegiatan pemilik pusat kebajikan

Iklan

SIKAP tidak bertanggungjawab seorang pemilik rumah anak-anak yatim di Cheras mengundang rasa tidak puas hati kerana dikatakan mempunyai masalah menguruskan kebajikan penghuni di situ.

"I run this place for more than 20 years. I know what to do," ujarnya bila mendapat teguran mengenai cara beliau menguruskan pusat berkenaan.

Iklan
Iklan

Melalui perkongsian selebriti tanah air, Caprice, di laman Instagram miliknya, video yang dikongsi semula itu mendapat perhatian ramai apabila beliau mendedahkan perlakuan tidak bertanggungjawab oleh pihak pengurusan rumah anak-anak yatim tersebut.

"Macam ni ke jaga rumah anak yatim?” ayat pendek dari Caprice ini mendapat lebih 500 komen dari netizen yang semuanya mahukan keadilan dan tindakan pihak berkuasa terhadap mereka ini.

Iklan

Di dalam video pendek berkenaan, kelihatan sekumpulan sukarelawan datang untuk memberikan bantuan pakaian, makanan dan hadiah untuk anak-anak di rumah penjagaan tersebut.

Amat menyedihkan kerana hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan keluar untuk berjumpa dengan mereka.

Iklan

Mereka juga rasa ada sesuatu yang tidak kena apabila pemilik rumah penjagaan tersebut hanya menyuruh mereka meninggalkan barangan bantuan di luar sahaja.

Melihat keadaan tersebut, mereka memberanikan diri meminta izin untuk duduk sebentar dan berborak dengan anak-anak yang ada di situ.

Perbualan ringkas dengan salah seorang penghuni di situ amat mengejutkan. Anak itu mengatakan ada kawan-kawan mereka yang dikurung di tingkat atas dan tidak dibenarkan keluar.

Mendengar luahan berkenaan, sukarelawan bertindak untuk naik ke tingkat atas rumah tersebut bagi melihat sendiri betulkah apa yang dikatakan oleh anak itu.

Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat ramai kanak-kanak terkurung di sebalik jeriji besi yang dikunci.

Melalui perbualan itu juga, anak itu memberitahu mereka mendapat makanan yang hampir tarikh luput manakala ada barangan yang tidak sampai kepada mereka.

Berlaku sedikit pertikaman lidah dengan pihak pengurusan rumah kebajikan itu apabila mereka tidak dapat menerima teguran dari pihak sukarelawan.

Susulan insiden ini, Caprice memohon bantuan dari pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.

Terdapat komen salah seorang pembaca di status yang dimuat naik oleh Caprice ini berkongsi pengalamannya sendiri berurusan dengan pihak rumah anak-anak yatim ini:

"Ada dua orang anak angkat saya tinggal di situ. Dua hari sebelum raya, saya dan ibu kepada anak-anak ini datang ke situ untuk mengambil mereka tapi tidak dibenarkan.

"Kami menunggu sejam baru pintu dibuka. Saya nampak si adik turun dari tangga sambil menangis dan pegang tangan saya. Dia beritahu nenek baju kuning tu marah dia, tunjal kepala dia dan menggelarkan saya monyet.

"Mereka pergi ke sekolah guna kasut yang dah haus tapaknya. Kami hantar barangan sekolah yang cukup untuk mereka berdua tapi baju sekolah yang mereka pakai kotor macam alas lantai” ujar miss_nadiana.

Kebanyakan komen menyuarakan agar tindakan segera diambil agar anak-anak ini dapat diselamatkan.