BUKAN hanya cantik dan berbakat di pentas seni, Bella Astillah turut membuktikan dirinya handal di dapur.
Selebriti serba boleh itu terus mencuri perhatian apabila menerima pujian daripada tuan rumah kerana sanggup menyediakan sendiri aneka juadah untuk rumah terbuka Aidilfitri di kediaman Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini.
Apa yang lebih mengagumkan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah memulakan sesi memasak seawal jam 6 pagi dan tekun menyiapkannya demi memastikan para tetamu diraikan dengan air tangan sendiri.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Syed Saddiq menerusi siaran langsung di akaun TikTok Team Saddiq yang turut memperlihatkan keterujaan dan rasa hormat beliau melihat kesungguhan ibu kepada dua cahaya mata itu.
Antara menu yang disajikan daripada hasil air tangan Bella termasuklah sambal udang, ayam masak merah, makaroni, sayur campur dan beberapa lagi hidangan yang membuka selera tetamu.
"Bella memasak dari jam 6 pagi hingga jam 12.30 tengah hari, semua hidangan dia buat sendiri dari A sampai Z. Saya dan Jack (pembantu) hanya tukang makan,” katanya.
Sebelumnya, Syed Saddiq merancang untuk menempah makanan menerusi perkhidmatan katering namun hasrat itu ditolak oleh pelantun lagu Tapi Bukan Denganmu sendiri yang mahu menyediakan hidangan secara peribadi.
"Saya dah cadangkan untuk ambil katering, tapi Bella tetap nak masak,” tambahnya.
Tanpa mengeluh letih, wanita berjiwa besar itu terus bergegas ke lokasi penggambaran dan jelas mencerminkan komitmennya dalam setiap perkara yang dilakukan baik di dapur mahupun di hadapan kamera.
"Saya juga rasa kesian, itulah wanita luar biasa yang bernama Bella,” luah Syed Saddiq dalam TikTok.
Bukan itu sahaja, selepas selsai majlis, Bella dikatakan terus bergegas ke lokasi penggambaran mencerminkan komitmen tinggi beliau dalam setiap perkara yang dilakukan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap kebolehan Bella sebagai penyanyi dan pelakon yang serba boleh.
Ramai yang memuji sikap rajinnya yang langsung tidak bersandarkan kepada status selebriti semata-mata, sebaliknya sanggup membantu menguruskan sendiri hidangan buat para tetamu.
Fenomena gandingan antara Bella Astillah dan Syed Saddiq yang disebut-sebut sebagai ‘BASS’ masih terus hangat diperkatakan di media sosial.
Meskipun kedua-duanya tidak pernah mengesahkan status hubungan mereka, keterlihatan sosok mereka di beberapa acara sudah cukup mengundang pelbagai spekulasi.
Malah, keluarga kedua-dua personaliti popular itu dilaporkan tidak menolak sekiranya gosip yang bertebaran itu menjadi kenyataan dan memberi restu andai ada jodoh antara mereka.