Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun

Iklan

TAKZIAH diucapkan buat keluarga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah atas pemergian tokoh itu pada 7.10 malam.

Menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ menerusi Instagram berkongsi berita kehilangan Pak Lah menerusi Insta Story.

"Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al- Fatihah," kongsinya.


Meninggal dunia pada usia 85 tahun, Pak Lah yang dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Tun Abdullah telah memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau sendiri meletakkan jawatan dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009. Pada September 2022, KJ mendedahkan Pak Lah mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak pada 2009.

Khairy menjelaskan, bapa mentuanya tidak lagi berkeadaan biasa, tidak mengenali orang terdekatnya.

Berikut 10 fakta perjalanan beliau dalam menabur jasa dan baktinya kepada negara:

1-Tun Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

2-Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.


3-Tun Abdullah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pengaman Persekutuan, di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1964 sehingga 1969. Pada tahun 1969, beliau telah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang telah ditubuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

4-Pada tahun 1971, Tun Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga 1973, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah dalam Kementerian yang sama pada tahun 1974.

5-Tun Abdullah mula menyertai UMNO pada tahun 1965. Beliau mula bergiat aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas. Pada tahun 1978, beliau telah meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

6-Pada tahun yang sama, beliau telah bertanding pada Pilihan Raya Umum 1978 sebagai calon Barisan Nasional dan memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara. Tun Abdullah telah dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996.

7-Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi tahun 2000-2003. Beliau memegang jawatan sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008.

8-Beliau terdahulu mula memegang jawatan Menteri; bermula di Jabatan Perdana Menteri (1981 – 1984); Kementerian Pendidikan (1984 – 1986); Kementerian Pertahanan (1986-1987); dan Kementerian Luar Negeri (1991 – 1999). Pada tahun 1999, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Pertahanan.

9-Islam Hadhari ialah konsep yang telah diperkenalkan olehnya. Polisi nasional ini memberi fokus kepada peningkatan pembangunan dan mutu kehidupan sesebuah masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang, dan pembangunan modal insan.

10-Tun Abdullah berkahwin dengan Tun Endon Mahmood pada tahun 1965 namun perkahwinan namun cuma bertahan 40 tahun apabila Endon meninggal akibat barah payu dara pada tahun 2005. Mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah. Tun Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

Sumber: Perdana.org.my