PERJALANAN terakhir Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyaksikan empat bekas Perdana Menteri Malaysia hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi yang terawal tiba bagi menziarahi jenazah Tun Abdullah pada 10.40 pagi.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk memberi penghormatan terakhir dan menghadiri pengebumian Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai 'Pak Lah'.


Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba 50 minit kemudian diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12.20 tengah hari.
Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula tiba kira-kira 12.34 tengah hari.
Turut hadir Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Kesemua pemimpin berkenaan meluangkan masa beberapa minit bertemu ahli keluarga Tun Abdullah yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan berlangsung.
Isteri Tun Abdullah, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya Nori Abdullah bersama suami, Khairy Jamaluddin antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama Masjid Negara.
Istiadat Pengebumian Negara disempurnakan di Makam Pahlawan di pekarangan masjid berkenaan.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) terdahulu menerusi kenyataan mengarahkan semua bangunan dalam jarak radius dua kilometer dari Masjid Negara perlu mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian.
10 INFO MAKAM PAHLAWAN
Tun Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam selepas dikatakan sesak nafas.
Allahyarham merupakan pemimpin Malaysia kelima yang akan disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Berikut 10 info berkaitan makam berkenaan:
1-Makam Pahlawan adalah sebuah tempat perkuburan khas dibina bersama-sama dengan Masjid Negara sebagai tempat khas untuk pemimpin dan wira yang banyak berjasa semasa hidup mereka.
2-Kawasan Masjid Negara dan Makam Pahlawan direka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharudddin Kassim. Kawasan ini mula dibina pada tahun 1963 dan siap pada tahun 1965.
3-Kawasan makam yang unik ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian dalam dan luar. Bahagian dalam dilitupi dengan kubah konkrit yang berbentuk bintang pecah sebanyak tujuh yang menempatkan beberapa makam.
4-Kubah berbintang ini mempunyai penjuru yang setiap satunya hampir mencecah tanah serta dikelilingi kolam yang memisahkan kawasan luar.
5-Di bahagian tengah pula direka dengan hiasan lambang negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar dari Pulau Langkawi.
6-Bahagian tengah bumbung kubah dihiasi dengan hiasan bunga mawar berwarna emas.
7-Tun Dr. Ismail menjadi orang yang pertama dikebumikan di sana pada tahun 1973.
8-Kawasan Makam Pahlawan dan Masjid Negara telah diwartakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 6 Julai 2007. Majlis pemasangan plak pengisytiharan tersebut telah diadakan pada 30 April 2009.
9-Turut disemadikan di situ ialah Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, dan Tun Ghafar Baba.
10-Lingkaran Makam Pahlawan pula menempatkan pusara pemimpin-pemimpin negara yang lain seperti bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Syed Jaafar Albar, bekas Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Tun Sardon Jubir, bekas Menteri Dalam Negeri dan Menteri Luar, Tun Muhammad Ghazali Shafie dan mantan Menteri Kebajikan Masyarakat, Tun Fatimah Hashim.