Bau wangi ingatkan makanan, rupanya sabun. Awas! Silap tertelan boleh mengundang padah

Iklan

Sabun dan losen berbau serta berpenampilan seperti makanan boleh mengelirukan kanak-kanak dan warga emas. Dr Kamarul Arifin kongsi dua kes tertelan produk penjagaan diri yang mengundang simptom keracunan.

BAYANGKAN pencuci mulut atau buah-buahan yang asli sahaja pun boleh mengundang orang untuk makan, apatah lagi jika dijadikan wangian sabun dan losen dengan bentuk seakan makanan sebenar.

Bagi empunya barang mungkin tahu, tetapi sebenarnya ia boleh mengundang bahaya sekiranya barangan tersebut terdedah hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan anak kecil dan juga warga emas.

Iklan
Iklan

Pegawai perubatan dan juga pempengaruh, Dr Kamarul Arifin dalam perkongsiannya di Facebook mendedahkan beliau pernah merawat dua kes berbeza melibatkan insiden tertelan produk penjagaan diri yang berbau dan berpenampilan seperti makanan.

Dalam kedua-dua kes, mangsa mengalami simptom keracunan dan perlu dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Mohon berhati-hati bila beli sabun atau losen yang berbau seperti makanan, contohnya coklat, mentega, buah-buahan dan sebagainya.

"Dalam minggu ini sahaja saya telah melihat dua kes termakan bahan-bahan ini,” tulis beliau.

Iklan

Bagi kes pertama melibatkan warga emas yang tersalah makan sabun berbentuk seperti jeli kering dan berbau buah-buahan. Sabun tersebut juga mempunyai pembungkus bergambar buah, menjadikannya mudah disangka sebagai makanan sebenar.

"Selepas termakan (telan) baru beliau perasan itu bukan makanan. Selepas beberapa minit, beliau mengadu lidahnya terasa panas, disusuli dengan ketidakselesaan pada perut. Kemudian meminta ahli keluarga untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan," ujarnya.

Menurut Dr Kamarul, sabun seperti ini sering kali mempunyai label dalam bahasa Inggeris, tulisan kecil dan tidak jelas serta lebih berisiko jika diletakkan di tempat terbuka atau bersama makanan lain.

Sementara itu, bagi kes kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang memasukkan losen pelembap tubuh ke dalam mulut. Menurut ibunya, losen itu berwarna koko pucat dan berbau seperti susu coklat, menyebabkan si kecil menyangka ia minuman.

"Beberapa minit kemudian kanak-kanak itu mengalami muntah-muntah, dan disusuli dengan cirit-birit selepas satu jam. Kanak-kanak itu dibawa ke klinik kerana kelihatan lemah.”

"Kanak-kanak tidak pandai membaca, maka mereka bergantung kepada bau dan warna untuk mengenal pasti sesuatu,” jelas beliau.

Pegawai perubatan itu turut menjelaskan bahawa kebanyakan sabun dan losen mempunyai ketoksikan yang rendah, tetapi boleh mengakibatkan simptom ketidakselesaan pada lidah serta perut, muntah-muntah, dan cirit-birit.

Peluntur pula lazimnya mempunyai ketoksikan yang tinggi dan boleh menyebabkan muntah serta najis berdarah, sakit, sawan, tekanan darah rendah, pengsan dan kematian.

"Jika tertelan bahan-bahan ini, jangan paksa muntah kerana ia boleh menyebabkan komplikasi lain.

"Bawa terus berjumpa doktor. Lebih elok bawa sekali pek atau botol bahan tersebut.

"Jika beli sabun atau losen berperisa dan berciri seperti makanan, pastikan ia disimpan di tempat yang sesuai dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, atau di tempat bertutup yang boleh dikunci,” akhir kata beliau.