Madammu jawab dakwaan anaknya alami 'speech delay' dan autisme. Beliau tegaskan Ahmad Kayden berada dalam perkembangan normal dan sihat di bawah pemantauan doktor.
IBU mana yang boleh terima anak yang membesar bersamanya menjadi buah mulut orang, terutamanya dari segi tumbesarannya.
Itulah yang dirasai oleh usahawan dan pempengaruh terkenal, Madammu atau nama sebenarnya Eriyca Baiduri Abd Rashid, apabila orang ramai sering menyuarakan persoalan bahawa anaknya mengalami masalah lambat pertuturan atau speech delay, ada yang menyebut simptom autisme, bahkan ada yang mengatakan beliau seorang ibu yang"in denial”.
Oleh sebab itu, Madammu telah berkongsi sebuah video di laman TikTok bagi menjawab persoalan mengenai tahap kesihatan anaknya, Ahmad Kayden, dengan menegaskan bahawa anak lelakinya itu sudah pun menjalani pemeriksaan dengan doktor bertauliah.
"Macam-macam you all komen tentang anak saya ya! Saya tak boleh ditegur lah, anak speech delay lah, ada simptom autisme lah, saya in denial lah, ketagih TV lah.
"Ahmad Kayden baru setahun lebih, takkan dia nak bercakap macam budak umur lima tahun... Ahmad Kayden ada jadual, dia ada masa ke sekolah, masa makan, masa tengok TV, masa berenang, masa bermain, masa berjalan-jalan depan rumah, masa pusing-pusing naik motor dengan papa dia, masa bermain dengan adik-beradik dia,” katanya.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Madammu turut memberitahu bahawa setiap dua bulan, Kayden akan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan berkala. Menurut doktor yang memantau Kayden sejak awal, perkembangannya adalah baik dan berada dalam landasan yang betul.
"Kayden mempunyai hubungan mata yang baik, mengenali warna dan huruf, tahu bunyi fonik, serta mampu menyebut lebih daripada 70 perkataan setakat ini. Bila inginkan sesuatu, dia tahu untuk menunjuk dan menyebut ‘nak’. Dia juga boleh menunjukkan emosi, makan sendiri, malah kini sudah mampu tidur sendiri.
"Pertama kali dia menyebut ‘mama’ ialah ketika usianya baru empat bulan lebih. Saya rasa itu normal bagi usianya yang baru setahun lebih. Jangan mudah-mudah menilai anak orang kerana perkara ini sangat sensitif untuk seorang ibu.
"Jika Kayden ada simptom seperti yang you all sebut, sayalah orang pertama yang akan bawa jumpa pakar! Tentulah mana-mana ibu pun mahukan yang terbaik untuk anak. Tapi sekarang doktor kata Kayden sihat, perkembangan baik! Jadi nak bawa jumpa pakar buat rawatan apa?” tulis Madammu dalam kapsyen.
Sebagai seorang ibu, Madammu memohon kepada orang di luar sana supaya berhenti menilai dan menghakimi hanya melalui klip pendek atau tanggapan semata-mata.
Ini adalah soal anak kecil yang sedang membesar, dan kata-kata anda walaupun mungkin tidak berniat jahat, boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada seorang ibu.