DUA perkara penting yang sering diperingatkan dalam Islam kepada manusia supaya dijaga dan dipelihara dengan baik ialah penggunaan lidah dan tingkah laku, lebih-lebih lagi ketika berada di Tanah Suci.
Seorang pempengaruh dari negara seberang, Arif Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mak Beti, menerima ujian apabila tiba-tiba jatuh sakit ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah.
Perkara ini berlaku selepas Arif memuat naik video bergurau mengenai kekeliruannya mencari arah kiblat di bilik hotelnya, dan menyatakan ketiadaan penunjuk arah kiblat seperti yang biasa terdapat di hotel-hotel di Indonesia.
"Di Indonesia pun setiap hotel ada tanda arah kiblat. Saya dah cari di dalam laci, dalam almari, atas meja-meja pun tak ada.
"Macam mana boleh jadi macam ni biliknya? Kalau saya tengah sakit atau Dita yang sakit nak solat, nak menghadap ke mana? Tak ada pun arah kiblat,” katanya.
Beberapa hari selepas memuat naik video tersebut, Arif mengalami masalah kesihatan serius termasuk pening kepala, demam, menggigil, sesak nafas dan degupan jantung yang laju.
Arif menganggap keadaan itu sebagai teguran daripada ALLAH kerana tidak menjaga tutur kata di Tanah Suci.
"Tapi, sumpah ini kali pertama saya rasa sakit macam ni. Teruk sangat rasanya.
"Kepala rasa pening sangat, badan panas sejuk, seluruh badan menggigil, gigi berlaga sebab terlalu sejuk, nafas rasa sesak, jantung berdebar kencang, tekak panas sangat sampai nak bercakap pun tak keluar suara. Nak telan pun sakit, apatah lagi bila batuk, rasa macam luka kena garam.
"Sebenarnya dari Madinah lagi, tekak dah mula rasa sakit. Tapi sebab nafsu lebih besar daripada iman, saya tak jaga makan. Semua makanan pedas dan berminyak saya belasah.
"Mungkin ALLAH beri sakit semasa umrah ini sebagai satu teguran untuk saya mungkin ada kata-kata atau tingkah laku saya yang tak elok di Tanah Haram atau untuk menggugurkan dosa-dosa yang pernah saya lakukan,” jelasnya dalam perkongsian video yang lain.
Namun, selepas menerima rawatan, keadaannya dilaporkan semakin pulih.