KESIHATAN mental antara perkara penting yang selalu ramai terlepas pandang. Ada antara mereka yang mempunyai simptom tetapi mengelak untuk mendapatkan rawatan kerana takut diejek atau diberi gelaran ‘orang gila’.
Pendedahan yang dibuat oleh pendakwah Ustaz Izzhar Nazri di akaun Instagram miliknya, adalah perkongsian yang perlu diambil berat.
"Menurut kajian Industrial Organizational Psychology menyebut tentang penyumbang besar masalah kesihatan mental ini datang dari orang yang bekerja.
"Manakala kajian dari BMC Primary Care 2025 mengatakan ada pekerja-pekerja dari sektor tertentu yang memberikan sumbangan tertinggi kepada statistik pesakit mental di Malaysia” katanya.
Mendahului carta merupakan petugas kesihatan. Diikuti oleh guru, pensyarah, pekerja di industri khidmat pelanggan, sektor penguatkuasaan seperti polis, tentera dan terakhir sekali mereka yang bekerja di sektor korporat berprestasi tinggi.
Masalah kesihatan mental yang paling utama pekerja hadapi ialah kemurungan dan anxiety.
Oleh itu, Ustaz Izzhar juga memberikan pendapat khususnya kepada pihak syarikat untuk memberikan peluang kepada pekerja untuk berkarya dan menunjukkan potensi tanpa perlu menekan mereka.
Justeru, sebaiknya berikan peluang kepada pekerja untuk membuat saringan kesihatan mental berkala.