HARI Raya yang sepatutnya disambut dengan senyuman bertukar menjadi Syawal penuh hiba apabila Mohd Hamzah Boy kehilangan insan tercinta yang menjadi nadi hidupnya.
Demi mengubat rindu yang tidak berpenghujung, Mohd Hamzah nekad mengenakan semula busana pernikahan serba putih ketika menziarahi pusara arwah isteri pada pagi Syawal pertama yang lalu.
Menurutnya, pemilihan baju bersejarah itu bukan sekadar simbol cinta abadi, tetapi juga sebagai cara untuk ‘menghidupkan’ kembali detik-detik manis yang pernah dikongsi bersama Allahyarhamah isteri tercinta, Dayang Radzmia Datu Ismail.
Difahamkan, Dayang Radzmia menghembuskan nafas terakhir pada 5 Mac lalu akibat kegagalan paru-paru lalu meninggalkan Mohd Hamzah bersama satu-satunya cahaya mata sebagai penyabung kasihnya.
Momen penuh sebak itu dirakam dan dikongsikan Mohd Hamzah menerusi akaun TikTok miliknya dengan memaparkan dirinya bersama anak lelaki mereka, Mohd Harraz yang baru berusia enam bulan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bokara, Jalan Batu Sapi.
Berkongsi detik memilukan itu, Mohd Hamzah mengakui pemergian isteri tercinta bukan sahaja meninggalkan kekosongan yang tidak mungkin terisi, malah membawa kesan mendalam kerana tidak sempat berada di sisi wanita yang dicintainya pada saat-sat akhir hidupnya.
"Sebelum ini, kami tinggal di Shah Alam kerana saya bekerja sebagai jurujual barang elektrik di sana.
"Mengikut perancangan asal, kami akan beraya di Sabah bersama pada hari raya keempat, namun isteri minta pulang kampung lebih awal sebelum meninggal dunia di rumah keluarganya pada 4 Ramadan lalu.
"Isteri meninggal dunia ketika kami berhubung menerusi panggilan video menyebabkan saya terkejut bercampur sedih. Hidup saya jadi sunyi selepas isteri tiada, tapi hidup perlu diteruskan. Waktu anak tidur, saya akan layan perasaan sedih dan bila dia terjaga, saya kena ceria untuk melayannya," katanya.
Lebih memilukan apabila mengenangkan hajat Dayang Radzmia untuk beraya bersama anak mereka buat kali pertama tidak kesampaian lebih-lebih lagi pelbagai persiapan raya telah disediakan isteri sebelum pergi buat selamanya.
"Saya dan isteri pun sempat buat majlis akikah buat anak yang sepatutnya pada raya ketujuh, tapi diawalkan pada 8 Disember lalu kerana dia (isteri) nak cepat.
"Isteri pun sempat belanja kelengkapan raya buat anak dan sebelum ini tak fikir apa pun, tapi bila dia sudah meninggal dunia, saya dapat rasakan itu semua seperti petanda pemergiannya," luahnya.
Sumber: Harian Metro