Tahniah diucapkan buat pelakon, pengarah dan pengacara terkenal Dr Norzizi Zulkifli kini bergelar Profesor Madya.
Pensyarah Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkongsi impiannya menjadi kenyataan berkat doa daripada bapa yang juga aktor terkenal, Datuk Zulkifli Zain semasa hayat.
Mengimbas kembali saat cita-cita itu berputik, isteri kepada pengkarya seni Bayu Utomo Radjikin itu memuat naik foto dirinya di hadapan parkir khas Profesor Madya yang dirakamkan pada enam tahun lalu.
"Gambar dirakam pada 24 Jun 2020. Ini parkir milik orang. Saya memarkirkan kereta hanya untuk nak berposing di sini supaya gambar ini menjadi saksi sebuah impian yang ingin dikerjakan.
"Hasrat dan ketentuan belum tentu selarinya. Papa pun meninggalkan kami pada September tahun itu. enam tahun kemudian, 25 Februari 2026. Alhamdulillah! Terima kasih ALLAH. Terima kasih semua yang mendoakan saya," titip Norzizi.
Hantaran Norzizi, 4 menerima ucapan tahniah daripada warganet yang rata-rata menzahirkan rasa bangga dan syukur atas gelaran akademik itu.
Kejayaan Norzizi cukup membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi. Bermula dengan diploma, perjalanan akademik pengacara program kanak-kanak Di Mana Jom Jambul ini berakhir dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD)!
Norzizi yang berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM sejak 15 November 2006 memegang PhD dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media dari University of Wollongong, Australia.
Dia terdahulu meraih Sarjana Seni Halus (Pengarahan Teater), National College of Rubber Technical, United Kingdom, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan, UiTM, Cawangan Shah Alam dan Diploma Teater, Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).
Sekadar info, Norzizi ialah anak kepada pelakon terkenal era 70-an hingga 2000-an iaitu Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar. Allahyarham Zulkifli popular menerusi drama Tragedi Seri Mersing pada 1985 dan sangat dikenali dengan watak Bentayan.
Norzizi merupakan cahaya mata sulung daripada lima adik beradik dan kakak kepada Norzaza, Norzazila, Norzazleen dan Mohd Noor Zabaiq.