'Pertama kali jumpa, dia minta teman tidur...' Mangsa pukul mengaku kenal wanita di TikTok, muncul 4 lelaki minta RM3,000

Iklan

VIDEO memaparkan seorang pemuda dipukul sekumpulan lelaki tular di laman sosial menyentuh hati ramai.

Pempengaruh dan rapper, Ariz Ramli atau Caprice, yang dihubungi lelaki berkenaan berkongsi temu bualnya bersama lelaki berkenaan menerusi panggilan video.

Baharu sahaja menjalani pemeriksaan kesihatan, lelaki berkenaan bersyukur tiada kecederaan serius biarpun terpaksa menerima jahitan pada beberapa bahagian badan. Video berkeaan juga sekali gus menafikan khabar angin beliau telah meninggal dunia.

Menerusi video dimuat naik Caprice, lelaki berkenaan mengakui baharu mengenali wanita berkenaan di laman sosial.

"Puncanya saya baru berkenalan dengan seorang wanita di TikTok dan ketika itu kami baru pertama kali jumpa.

"Saya berikan pelbagai alasan termasuk tiada duit untuk mengisi minyak motosikal. Dia kata tidak mengapa, dia berikan duit minyak asalkan saya ke sana," katanya.

Tidak mendedahkan nama individu dan tarikh kejadian, pemuda berkenaan memberitahu individu yang memukulnya itu tiba-tiba muncul.

"Apabila saya sampai ke rumah wanita berkenaan dia bawa saya ke tingkat atas.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Saya baharu buka kasut, tiga hingga empat orang lelaki masuk dari pintu depan. Motifnya saya tidak tahu tetapi selepas dipukul, mereka minta duit RM3,000.

"Mereka minta RM3,000 tetapi saya hanya RM600. Jadi, saya berikan RM600 dan untuk selebihnya mereka ambil motosikal saya. Sekarang motosikal saya berada dengan mereka," tuturnya yang menerima tiga jahitan pada bahagian bibir.

Ujar Caprice, beliau berharap insiden menimpa pemuda itu menjadi pengajaran buat pengguna laman sosial terutama TikTok agar tidak sewenang-wenangnya melayani individu yang ingin berkenalan.

Hal itu dipersetujui lelaki berkenaan yang bersetuju dengannya.

"Senang cerita, jangan mudah percayakan oranglah," katanya.



Warga maya memuji tindakan Caprice menasihatkan pemuda berkenaan dan ramai berharap kes berkenaan menjadi pengajaran.

"Aku puji kau bro. Jujur cerita semuanya. Itulah dunia sekarang, jadikan pengajaran."

"Kira macam kes samun cuma jalan ceritanya mereka gunakan perempuan sebagai umpan supaya mangsa datang."

"Terbaik Cap..bagi nasihat dekat budak muda yang mudah terpengaruh.

"Sesungguhnya tipu daya wanita itu sangat dasyat. (Surah Yusuf, ayat 28)"


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak menerusi kenyataannya mendedahkan video tular berkenaan memaparkan berlaku kepada mangsa yang berusia 21 tahun.

Berikut info berkaitan yang dikongsikan:

1-Menerusi laporan, kejadian berkenaan berlaku pada jam 9.30 malam Jumaat lalu di kawasan perumahan di Plentong Baru, Masai, Johor.

2-Hasil siasatan mendapati mangsa telah ke pangsapuri berkenaan setelah menerima jemputan daripada kenalan wanita di laman sosial.

3-Apabila masuk ke rumah berkenaan, beliau telah dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh lapan orang lelaki warga tempatan.

4-Mangsa telah mengalami kecederaan luka bahagian bibir, telinga dan bengkak pada badan.

5-Bertindak atas maklumat, pada Isnin, 2.30 petang polis telah menahan tujuh orang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Malaysia berusia dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun.

6-Lima daripada suspek mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan berkait jenayah dan dadah.

7-Ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

8-Kesemua ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula 21 April hingga 26 April 2025.

9-Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berikut:

i. Seksyen 342 Kanun Keseksaan – Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

ii. Seksyen 385 Kanun Keseksaan – Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

iii. Seksyen 324 Kanun Keseksaan –

10-Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes berkenaan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Devandran Ganesan pada talian 014-6676431 atau hubungi ke Hotline IPD Seri Alam 07-3864222.

Terdahulu, pemuda yang menerima enam jahitan pada telinga kiri, bengkak pada dada dan bahagian belakang badan itu telah pun mengemukakan laporan polis.

Selepas dipukul, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik sebelum dihantar ke rumah rakannya.

Sumber: Instagram, Facebook