LAMAN sosial TikTok dan X dihujani perkongsian video memaparkan penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang yang terkesan susulan hujan lebat berterusan awal pagi ini.
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan banjir kilat beberapa kawasan di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Menerusi sebuah video live dikongsikan pengguna TikTok fitrikhairuddin memaparkan keadaan di Jalan Kubu Gajah, Sungai Buloh yang dinaiki air dan arusnya sedikit kuat.
Sementara itu pengguna TikTok Kupu2Malam juga berkongsi hal yang sama dan berharap menerima bantuan daripada pihak penyelamat segera. Pengguna Tiktok Capgone pula memuat naik video memaparkan keadaan sekitar kediamannya yang sudah dinaiki air dengan arus yang agak deras.
Sumber: Orang awam
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya mula menerima panggilan kecemasan seawal jam 5 pagi.
"Panggilan pertama diterima dari Jalan Industri 4, Kampung Baru Sungai Buloh pada jam 5.01 pagi. Sebuah jentera dari Balai Bomba Bukit Jelutong dikerah ke lokasi dan mendapati enam rumah terjejas dengan paras air mencecah 0.6 meter,” katanya.
Kira-kira 12 minit kemudian, bomba menerima panggilan kedua berhubung seorang wanita yang terperangkap di dalam kenderaan di Jalan PJU 1A/46, Petaling Jaya.
Sumber: Bernama
"Sebuah pasukan dari Balai Bomba Petaling Jaya dikerahkan dan mendapati banjir kilat menyebabkan paras air naik sehingga 1.5 meter. Wanita berusia lingkungan 50-an itu berjaya diselamatkan dari sebuah SUV jenis Honda,” katanya sambil memaklumkan paras air di lokasi tersebut kini telah surut sepenuhnya.
Pada jam 5.44 pagi pula, pihak bomba menerima laporan banjir kilat di Pusat Badminton USJ 23, Subang Jaya yang turut menyebabkan sebuah kereta Proton terperangkap dalam air sedalam 0.6 meter, namun tiada mangsa berada di dalam kenderaan.
Sementara itu, pada jam 6.31 pagi, banjir turut dilaporkan berlaku di Jalan Teratai 4, Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dengan air naik setinggi 0.9 meter melibatkan 80 rumah.
"Tiada pemindahan dilakukan setakat ini dan air dilaporkan beransur surut,” kata Mukhlis.
Sumber: Bernama
TIP MEMANDU DI KAWASAN BANJIR
Banjir boleh berlaku sekelip mata terutamanya apabila hujan turun dengan lebat.
Membayangkan diri berada di dalam kenderaan dan jalan di hadapan mula dinaiki air, ia tentunya membimbangkan dan boleh mencetuskan panik.
Berikut adalah langkah yang yang perlu dilakukan bila berhadapan situasi sedemikian.
1. Mungkin ada yang beranggapan ‘redah sahaja air banjir' kerana kereta lain boleh berbuat demikian. Namun berpatah balik adalah langkah yang lebih selamat.
2. Dalam pada membuat keputusan, penting untuk korang melihat tahap kederasan dan kedalaman air banjir tersebut.
3. Sekiranya air terlalu deras dan tingginya menjangkau paras separuh tayar kenderaan , korang dinasihatkan untuk tidak meredah kerana ia boleh menyebabkan kereta teralih dengan sendirinya.
4. Arus air yang terlalu deras dibimbangi menyebabkan kenderaan hanyut sekelip mata dan membahayakan nyawa korang dan penumpang.
5. Fakta penting! Sebanyak 32 peratus kematian akibat banjir adalah kerana mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
6. Jalan-jalan yang ditenggelami air dianggap tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan sekiranya paras banjir sedalam 0.35 meter.
7. Manakala semua kenderaan tidak dibenarkan meredah banjir sekiranya paras air mencecah kedalaman 0.76 meter di atas permukaan jalan.
8. SUV dan trak mempunyai paras tayar yang lebih tinggi berbanding kereta.
9. Air setinggi lebih kurang 6 inci sudah cukup untuk mencecah bahagian bawah kereta dan menyebabkan kereta hilang kawalan dan boleh terbalik!
10. Paras air sekaki (lebih kurang 30cm) mampu menyebabkan kereta terapung dan berisiko tinggi untuk hanyut.
Jadi, jika air terlalu deras, tunggu sahaja. Tindakan tersebut lebih selamat daripada kerugian harta benda atau lebih berharga ialah nyawa.
Sumber: Buletin TV3, Bernama