PAKAIAN terpakai atau bundle bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, fenomena ini makin mendapat tempat di hati penggemar fesyen yang bijak berbelanja.
Namun, di sebalik keterujaan memburu pakaian rare dan berjenama, ada sisi gelap yang tidak wajar dipandang ringan terutamanya soal kebersihan.
Baru-baru ini, tular di media sosial kisah seorang lelaki dari Indonesia yang berkongsi pengalaman jarang-jarang berlaku kerana dijangkiti penyakit kulit dikenali sebagai molluscum contagiosum selepas membeli pakaian terpakai.
Menerusi hantaran di platform X @awesomeposted, pemuda terbabit mendakwa jangkitan itu sememangnya berpunca daripada pakaian terpakai yang dibeli kerana tiada seorang pun ahli keluarga mempunyai sejarah atau sedang menghidap virus berkenaan.
"Molluscum contagiosum adalah sejenis virus yang dapat menular melalui sentuhan.
"Saya tidak berjangkit daripada orang terdekat kerana mereka yang saya kenal tiada sejarah penyakit berkenaan," katanya.
Jelas pemuda itu lagi, membeli barangan terpakai seperti pakaian bukanlah satu keburukan, malah dianggap langkah bijak buat mereka yang mahu berjimat.
Namun, kesilapan besar yang dilakukan dan menjadi peyesalan adalah apabila dia terus menyarung pakaian berkenaan tanpa mencucinya terlebih dahulu.
"Selalu beli baju terpakai dan bukanlah untuk memburukkan pakaian bundle, tetapi kisah benar yang mana saya tidak pernah cuci baju yang dibeli(sehinggalah musibah ini datang).
"Kita tidak pernah tahu pemilik baju sebelum ini mempunyai sejarah penyakit apa tetapi terus memakai baju tersebut sehingga terkena sakit yang sama," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut, pemuda berkenaan mendedahkan bahawa jangkitan kulit yang dialaminya bermula hanya dengan sekumpulan benjolan kecil yang timbul di bahagian ibu jari tangan lalu memecahkannya dengan tangan sendiri.
Kesilapan memecahkan benjolan menggunakan tangan, ditambah pula hanya mengelap darah dengan tisu kering tanpa mencuci dengan air atau sabun, membuka jalan kepada penyebaran virus ke bahagian tubuh lain termasuk wajah.
"Pada mulanya benjolan naik di ibu jari dan tidak tahu itu adalah virus lalu saya memecahkannya hingga keluar darah.
"Tidak tahu akan akibatnya, saya hanya mengelap dengan tisu kering tanpa membasuh dengan air atau sabun dan menyentuh bahagian wajah.
"Ketika bejolan timbul semakin banyak di wajah saya ulang perkara sama kerana menyangka ia jerawat yang boleh hilang dengan picit," kongsinya.
Sehingga kini, penyakit yang dialami pemuda tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda pulih sepenuhnya. Namun, dia terus menaruh harapan agar benjolan yang dialami itu dapat mengecut dengan izin-NYA.
"Saya yakin penyakit yang diberikan ALLAH bakal ada ubatnya dan boleh sembuh dalam masa terdekat.
Untuk makluman, tempoh penyembuhan bagi individu yang dijangkiti virus molluscum contagiosum yang juga dikenali sebagai ketuat air bukanlah sekejap.
Ia boleh mengambil masa antara enam hingga 12 bulan, malah ada yang lebih lama bergantung kepada kekuatan sistem imun tubuh seseorang.