PELAJAR ini bukan murid contoh, bukan juga pelajar harapan yang membuatkan namanya diingati. Namun, apa yang berlaku pada satu titik dalam perjalanan persekolahannya, menjadikan ia satu kenangan yang tak mungkin hilang dari memori seorang insan bergelar guru.
Itu antara kisah yang masih segar dalam ingatan seorang guru yang dikenali sebagai Muslim Ismail, apabila mengenangkan anak didiknya yang pernah dianggap hampir gagal dalam sistem persekolahan.
Bukan kerana kenakalan atau masalah disiplin, tetapi pelajar yang dirahsiakan identitinya itu pernah mencetuskan kebimbangan pihak sekolah apabila kerap tidak hadir ke sekolah semasa di Tingkatan Empat.
Namun, berkat usaha murni Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta kaunselor sekolah yang tidak pernah jemu membuka ruang dan peluang telah menyelamatkan pelajar berkenaan dari dibuang sekolah.
"Murid ini waktu Tingkatan Empat, hampir dibuang kerana sangat kerap ponteng, atas usaha GPK Hem dan kaunselor, dia datang semula ke sekolah," tulis guru berkenaan menerusi hantaran Facebook.
Walaupun akademik bukan kekuatannya, pelajar yang memiliki perwatakan baik dan jujur itu tidak meminati sistem persekolahan yang begitu menekankan aspek pendidikan yang penuh dengan persaingan dan perbandingan.
"Seorang murid baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah.
"Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan telah menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat," luahnya.
Melihat kecenderungan pelajarnya yang gemar menyanyi, Muslim tidak melepaskan peluang dengan mengajak anak muda itu menyertai kumpulan puisi dan lagu peringkat sekolah.
Biarpun tidak pulang dengan sebarang trofi, penyertaan itu membawa makna yang jauh lebih besar dan menjadi titik tolak kehadirannya ke sekolah.
"Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan," kongsinya.
Muslim yang juga guru Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Landskap dan Nurseri berkongsi, pelajarnya itu tidak pernah lulus dalam peperiksaan subjek berkenaan, namun sentiasa ringan tulang dan bersungguh-sungguh menyiapkan setiap tugasan yang diberi.
Walaupun tidak sempurna, bagi Muslim, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pelajarnya itu jauh lebih bermakna dan menjadi keutamaan dalam peranannya sebagai seorang pendidik.
Namun dalam coretan panjang itu, siapa sangka perjalanan pelajarannya akhirnya tiba ke garisan penamat apabila dia menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis lalu.
Lebih meruntun hati, pelajar yang selama ini diharap dapat melihat sendiri hasil usahanya itu dikatakan telah pergi menghadap Ilahi pada Isnin, iaitu tiga hari sebelum keputusan SPM diumumkan.
Hantaran yang meraih lebih 8,000 perkongsian di Facebook itu memaparkan keputusan cemerlang arwah dalam mata pelajaran Landskap dan Nurseri iaitu subjek yang suatu ketika dahulu tidak pernah lulus, namun akhirnya menjadi antara pencapaian terbaiknya.
Arwah difahamkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan apendiks.
"Hari ini dia dapat A-, tetapi aku tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu dengan pencapaian arwah yang dianggap luar biasa, selain tidak dapat menahan sebak mengenangkan arwah tidak sempat melihat sendiri hasil titik peluh yang akhirnya membuahkan kejayaan.
Dalam masa sama, orang ramai turut meluahkan rasa terima kasih kepada Muslim kerana menjadi pendidik yang bukan hanya mengejar A sebagai ukuran tetapi memberi peluang baharu kepada pelajar berkenaan.
"Cikgu seorang pendidik yang super duper hebat. Moga Syurga buat arwah,moga cikgu sihat selalu. Amin," komen Nurul Jannah Bongsu.
"Bila seorang murid dapat pada tangan seorang guru yang tepat.Biar tak pandai tapi beradap sebab guru tahu menilai seseorang anak murid itu dari perspektif lain.Syabas cikgu Muslim Ismail," tulis Ejam Rahman.