KATA orang-orang tua, orang beradab pasti berilmu, tetapi orang yang berilmu belum tentu punya adab. Ketinggian pekerti dan akhlak yang baik yang ditunjukkan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri ( SMKKAMi) baru-baru ini menyentuh hati warga maya.
Tular satu hantaran di laman Facebook memperlihatkan seorang pelajar lelaki bertindak memeluk pengawal keselamatan selepas mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi hantaran tersebut, Pengetua Cemerlang, Cikgu Ahmad Fauzi berkongsi pelajarnya sempat mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan sekolah kerana percaya setiap individu di sekolah turut menjadi sebahagian penting dalam kejayaan anak-anak muridnya.


"Dari jauh saya lihat, beberapa pelajar tenang sahaja berjalan ke pagar. Mereka bersalaman dan berpelukan dengan pengawal keselamatan sekolah.
"Rupa-rupanya, mereka mahu mengucapkan terima kasih. Bagi mereka, semua orang memainkan peranan, bukan sahaja guru, tetapi pengawal keselamatan juga sentiasa menjaga keselamatan mereka, memberi salam, serta mendoakan dalam diam.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana para pelajarnya berjaya melakar sejarah dengan memperbaiki Gred Purata Sekolah (GPS) berbanding tahun sebelumnya dengan 110 orang 5A ke atas dan seratus peratus layak sijil. 22 orang mencatat straight A.
"Alhamdulillah, terima kasih semua. GPS terbaik dalam sejarah SMKKAMi,” kongsinya
Menjengah ke ruangan komen, warga maya rata-rata memuji adab yang ditunjukkan pelajar itu kerana menghargai setiap insan tanpa menghiraukan status mahupun pangkat.
Warganet juga tidak ketinggalan mendoakan para pelajar sekolah berkenaan menjadi individu yang berjaya dan dipermudahkan segala urusan dalam menuntut ilmu.
"Tinggi adab pelajar sekolah ini. Tahniah ustaz, ustazah dan para guru. Ini menandakan didikan yang diberikan sangat baik.”
"Kita tidak tahu dalam kalangan ramai yang berdoa, siapa yang dimakbulkan. Kesimpulannya, usah pandang rendah pada pekerjaan sesiapa pun. Boleh jadi mereka berdoa untuk kesejahteraan kita. Walaupun mereka hanya bekerja sebagai pemungut tin.”
"Setuju. Mereka juga menjadi penyumbang besar kepada kemenjadian pelajar, terutamanya yang tinggal di asrama. Selepas terima keputusan SPM pagi tadi, anak saya bergegas mencari mak cik pengawal yang menjadi teman berkongsi rasa dan cerita. Kerana berjauhan dari keluarga, mak cik inilah menjadi pendengar setianya.”
"Hebat didikan ibu bapa dan guru-gurunya. Alhamdulillah, moga lebih berjaya di luar sana. Fi amanillah.”
"Sungguh, insan kamil sudah terbentuk hasil air tangan semua warga sekolah, guru, pengetua, pengawal keselamatan, pencuci dan lain-lain. Tabarakallah.”
Benarlah, sebaik-baik perhiasan di dunia ialah akhlak mulia. Tidak salah untuk mengejar ilmu setinggi mungkin, tetapi jangan sesekali melupakan budi bahasa dan pekerti yang baik.
Dalam Islam, kita diajar untuk mengutamakan adab, diikuti dengan ilmu. Malah, sesiapa yang memiliki kedua-duanya seiring, itu satu bonus besar. Moga kita semua berlumba-lumba menggali ilmu dan menjaga adab serta susila.
Sumber: Facebook