BELAJAR itu tiada tarikh luputnya. Apatah lagi jika cita-cita ketika kecil masih membara. Justeru, dengan ketekunan dan cekal, ahli perniagaan, Rusni Shafiya Ruslan meneruskan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Wanita berusia 36 tahun yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu menghidupkan kembali cita-cita untuk bergelar doktor yang pernah menjadi menyala sejal kecil dengan mengambil tiga mata pelajaran aliran Sains Tulen dalam peperiksaan tersebut melibatkan Biologi, Fizik dan Kimia dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2025.
Sudah memiliki Sarjana Muda Perakaunan Universiti Utara Malaysia dan memiliki kehidupan yang selesa, Rusni Shafiya mempunyai alasan kuat untuk kembali mengejar impiannya.
Menerusi sebuah video tular, beliau sempat meluahkan keputusan itu diambil kerana tidak mahu menyesal pada masa hadapan.
"Mengapa saya menunggu begitu lama?
"Memulakan semula kehidupan pada usia 30-an bukanlah kehidupan yang indah dan mudah. Tetapi saya tidak mahu berusia 60-an dan menyesali setiap peluang yang saya ada," titpnya.
Dahulu, cita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan sudah tertanam subur sejak kecil terpaksa dilupakan susulan faktor kewangan dan komitmen keluarga ketika itu.
"Mak saya pun ada juga ketawa kecil bila saya kata nak ambil semula SPM, tapi adik saya yang merupakan doktor bedah, Dr Nur Hanisa Ruslan banyak memberi inspirasi dan semangat.
"Kenalan saya juga ramai dalam bidang perubatan. Mendengar perkongsian mengenai kerjaya mereka, membuatkan saya tertarik untuk tahu lebih lanjut tentang kehidupan di hospital dan dunia perubatan secara umum," katanya.
Malah, kongsi wanita itu lagi, setiap kali memikirkan kembali cita-citanya, beliau menyibukkan diri dengan pelbagai perkara seperti mempelajari tentang kosmetik dan menghasilkan produk sehingga pada satu saat beliau merasakan ia tidak boleh ditangguh lagi.
"Satu hari anak perempuan saya dimasukkan ke hospital dan saya hampir kehilangannya. Saya rasa sangat 'bodoh' dan merasakan sudah tiba masanya untuk kembali mengejar impian sebagai doktor perubatan.
"Saya ada anak kecil dan keluarga untuk dijaga dan pekerja yang bergantung kepada saya. Saya tidak boleh mementingkan diri sendiri. Saya lupakan kemahuan itu.
"Tahun demi tahun berlalu sehingga suatu hari saya menangis dan bertanya kepada ALLAH kenapa saya memiliki perasaan ini dan tidak boleh melupakannya? Kenapa hasrat dan cita-ciita untuk menjadi doktor sangat kuat.
"Saya cuba sibukkan diri dengan pelbagai perkara dan mempelajar pelbagai perkara baharu. Namun apabila anak-anak semakin besar dan perniagaan sudah diserahkan kepada kaki tangan yang sudah terlatih saya menjadi sunyi seorang diri di rumah.
"Saya mula terfikir kehidupan siapa yang akan saya sentuh? Kanak-kanak mana yang akan saya rawat? Ibu mana yang akan tersenyum kembali dan yang lebih penting adakah saya akhirnya akan berasa puas dengan hidup saya?
"Jadi, di sini saya hari ini menjawab segala persoalan itu dan memulakan perjalanan ke arah cita-cita yang saya abaikan selama ini," kongsinya.
Demi merealisasikan hasratnya, Rusni Shafiya yang bergelar calon SPM 2025 meletakkan sasaran masa enam tahun.
"Tahun ini saya putuskan untuk cuba juga. Sekarang, saya fokus untuk ambil semula subjek SPM yang penting seperti Biologi, Fizik dan Kimia.
"Selepas itu perancangan saya adalah untuk sambung ke peringkat asasi universiti. Saya lebih cenderung ke arah program berkenaan berbanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia lebih padat dan dekat dengan suasana pembelajaran di universiti.
"Kalau semuanya berjalan lancar, saya anggarkan masa paling cepat untuk saya tamat pengajian dalam bidang perubatan adalah enam tahun,” kongsinya.
Bercakap mengenai bidang pengkhususan yang diminati, anak kelahiran Kluang, Johor itu meminati dua kepakaran biarpun masih tidak mempunyai perancangan khusus berkenaan perkara tersebut.
"Saya ada sedikit kecenderungan ke arah bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) atau Pediatrik. Namun, saya terbuka untuk meneroka bidang lain sepanjang proses pembelajaran nanti.
"Saya percaya dengan usaha dan sokongan, impian saya boleh jadi kenyataan. Insya-ALLAH,” kongsinya.
Warga maya memberikan sokongan dan kata-kata semangat agar beliau terus berusaha mencapai cita-citanya.
"Semangat sis. I once tengok YouTuber for pathway mature student medic in the UK. 37 tahun baru dia sambung Medic."
"Tiada yang mustahil. Ada yang sambung pelajaran pergigian smasa umur 30 tahun. Akak pun boleh!!"
"Seriously inspiring, age is just a number, studying is for lifelong. Love your passion!"
Sumber: Tiktok, Sinar Harian