Ustaz Azhar Idrus jelaskan tak wajar gelar isteri kedua sebagai penyondol. '..seolah kita tak suka pada ALLAH SWT'

Iklan

Ustaz Azhar Idrus menegaskan tidak wajar gelar isteri kedua sebagai "penyondol" kerana perkahwinan kedua dihalalkan dalam Islam, selagi tidak disertai hasutan menceraikan isteri pertama.

PENYONDOL, gelaran yang hangat diperkatakan masa kini, merujuk kepada seseorang yang dikatakan merampas suami orang lain.

Namun begitu, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menegaskan bahawa tidak wajar bagi orang ramai memberikan gelaran buruk seperti itu kepada isteri kedua.

Dalam satu perkongsian di TikTok, Ustaz Azhar menjelaskan bahawa penggunaan gelaran tersebut seolah-olah menggambarkan ketidakredaan terhadap sesuatu yang telah dihalalkan oleh ALLAH SWT.

Malah, Islam membenarkan seorang lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu, asalkan ia dilakukan mengikut syarat yang ditetapkan.

"Isteri kedua sekarang dipanggil penyondol. Tak boleh panggil penyondol sebab itu adalah gelaran yang buruk.

"Bila Allah SWT dah benarkan berkahwin tapi kita beri gelaran yang buruk, maknanya seolah-olah kita tak suka pada ALLAH SWT,” kata beliau.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Bagaimanapun, Ustaz Azhar turut mengingatkan bahawa perbuatan itu tetap salah sekiranya seorang wanita yang berkahwin sebagai isteri kedua berusaha menghasut suami agar menceraikan isteri pertama.

Tindakan sebegitu dianggap jahat kerana memecah-belahkan rumah tangga.

Sebaliknya, jika seorang wanita menjadi isteri kedua tanpa melakukan kezaliman atau penghasutan, dia tetap dianggap sebagai wanita yang baik di sisi agama.

"Yang buruknya kalau isteri kedua ini berkahwin tapi dia hasut suami supaya ceraikan isteri pertama, itu jahat.

"Kalau dia kahwin jadi isteri kedua tapi dia tak jahat dan tidak menghasut, dia orang baik,” jelas beliau.

Tambah Ustaz Azhar lagi, semua yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT dan sebahagian daripada perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran serta ujian.

Oleh itu, beliau menyeru agar setiap Muslim sentiasa bersabar serta memahami setiap ujian sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.