MENANTU Datuk Fauziah Nawi, dramatis Farah Ahmad berkongsi klip video memaparkan babak melibatkan pelakon kanak-kanak di sebuah set penggambaran.
Tidak bersetuju dengan teknik dilakukan pelakon lelaki yang mencampak seorang pelakon kanak-kanak, Farah kesal dan merasakan ia tidak patut dilakukan.
Kanak-kanak berkenaan dilihat dicampak aktor berkenaan namun disambut pada ketinggian tiga kaki. Dakwa Farah, ia bukan alasan untuk membiarkan si kecl itu diperlakukan sebegitu di set.
"Kalau anak kalian takkan kau nak campak. Ini berlakon sahaja. Cuba gunakan kreativiti. Kalau budak itu trauma siapa yang tanggung. Kalau terjatuh siapa yang tanggung. Budak tu sendiri tahu tak.
"Tidak kisah dalam cerita yang dibikin ada anak kecil, part begini ada banyak cara lagi," kongsinya.
Dalam pada itu, dakwa Farah, jika pelakon dewasa pun menggunakan pelakon lagak ngeri (stunt), inikan pula kanak-kanak. Pasti ada alternatif lain boleh dilakukan bagi menjayakan babak yang diingini.
"Aduhai, sudahlah segala caci sampah orang labelkan industri ini. Ditambah lagi dengan tiada timbang tara dalam berseni.
"Pelakon dewasa pun ada double body, ada stunt man, ada dummy.
"Maaf saya bersuara kerana benda ini tidak patut. Itu pasal kadang-kadang produksi tidak bagi video di belakang tabir (behind the scene - BTS) dirakam kerana apabila ia leak (bocor kepada umum) memang tidak kelakar kalian buat pada budak tu.
"Hendak nampak bagus, famous dan nampak real tetapi agak-agaklah. Kita pun pelakon juga tapi tidak pandai dan tidak famous sangat.
Dalam pada itu, pelakon wanita tersebut mengingatkan ibu bapa yang berniat menjadikan anak masing-masing sebagai pelakon atau pemegang sebarang watak dalam pembikinan drama perlu meneliti skrip bagi melindungi si kecil dan mengelakkan timbulnya kesulitan pada kemudian hari.
"Kepada ibu bapa yang mahu anak kecil menjadi talent tengoklah skrip dahulu dan pembikinan jangan main redah sahaja.
"Itu pasal tidak digalakkan sangat anak kecil shooting sebab ia di luar cara pemahaman mereka yang masih kecil.
"Sedar diri, sedar ruang, sedar rakan lakon!" kongsinya.
Hantaran Farah menerima lebih ribuan likes itu menerima pelbagai reaksi rata-rata warganet termasuk para selebriti yang rata-rata bengang atas tindakan yang dilakukan ke atas pelakon kanak-kanak terbabit.
Tidak kira watak sekecil apa pun, kanak-kanak akan mengalami trauma.
"Demi duit sanggup bagi orang campak anak. Crazy! Trauma budak tu! Kenapa bagi orang buat anak macam tu?? Erghhhh!!!"
"Ya ALLAH rasa marah sangat."
"This is crazy! There is other professional way to make the scene alive and real."
"Susah kalau tidak belajar teknik tapi nak jadi pelakon."
"Confirm budak itu trauma. Dia tidak tahu apa-apa dan tidak mampu bezakan realiti atau lakonan."
"This one gila. Kalau adult pun ada rehearsal untuk fight scene tetapi budak campak begitu."
POST TURUNKAN
Pun begitu, Farah kemudian menurunkan hantaran berkenaan. Jelasnya, beliau tidak bermaksud untuk menutup periuk nasi mana-mana pihak sebaliknya tidak mahu ia dinormalisasikan dalam industri.
"Tiada makna hendak tutup periuk nasi orang kerana rezeki itu semudah pasti dari ALLAH SWT. Maafkan saya kerana saya bersuara kerana saya seorang emak dan pemain seni yang baru setahun jagung dalam industri seni ini tetapi menormalisasikan sesuatu benda yang tidak sepatutnya berlaku dan cara kerja, maaf ia bukan saya. Saya tak mahu berkompromi.
"Saya Farah Ahmad, menurun satu video TikTok shooting drama menjadi isu perikemanusiaan. Diturunkan bukan kerana menormalisasikan cara kerja tetapi untuk dijadikan panduan buat ibu bapa yang mahu anak menjadi pelakon iaitu;
1. Baca skrip dulu.
2. Kenal pasti watak yang dimainkan.
3. Kenal pasti apa yang anak kecil kena lakonkan, adakah ia melibatkan fizikal atau tidak kerana ini akan melibatkan mental mereka yang kita tidak tahu apa kebarangkalian dan kemungkinan.
4. Dan pasti waktu bekerja kerana mereka anak kecil. Diulang sekali lagi, anak kecil.
"Peringatan sesama kita, buat warga seni jangan post BTS sesi penggambaran tanpa kebenaran bagi mengelak kebarangkalian dan kemungkinan perkara tidak sepatutnya berlaku diketahui.
"Kita warga seni pembikin dan seni pemain seni pasti ada banyak cara yang lebih kreatif untuk merealisikan visual mata pena," katanya.
Dalam pada itu, Farah menafikan mencari publisiti murahan atau di menjatuhkan karya ahli sebaliknya tampil sebagai ibu dan bapa serta pemain industri seni.
Malah katanya, video berkenaan didapatinya secara daripada media sosial dan beliau tidak tahu ia melibatkan produksi mana. Malah, video berkenaan sudah dipadamkan.
"Saya hanya memberi peringatan kepada ibu bapa yang mahu anak kecil berlakon supaya membaca skrip,tahu perialanan cerita dan apa yang perlu dilakukan anak sebagai pelakon kerana ada kemungkinan yang berlaku kita tidak tahu.
"Kena berhati-hati supaya benda (bahaya) tidak berlaku kerana malang tak berbau. Tambah lagi apabila melibatkan anak kecil yang bukannya orang dewasa.
"Saya hanya berkongsi pendapat sebagai pemain rasa dalam seni ini. Seorang pembikin, kita ada banyak cara kreativiti yang boleh digunakan tanpa mengundang benda yang kita tidak boleh nak elakkan. Dan jika tidak, kita akan menormalisasikan benda yang tidak sepatutnya. Ini luahan saya sebagai ibu bapa.
"Pelakon atau penggiat seni yang baru masuk ingat hak masing-masing sebagai seorang manusia. Bincang dengan director. Ambil tahu pasal keselamatan bukan hanya manusia sahaja, binatang pun kita kena fikirkan keselamatan. Jangan main redah sahaja jika berlaku apa-apa lagi payah.
"Bersuara bukan kerana tunjuk pandai atau publisiti tetapi untuk kesejahteraan kita dalam berseni. Kerana seni itu halus.
"Seni itu mengajar kita menjadi manusia. Kepada yang berkata 'yang share pun pelakon yang komen pun semua pelakon,' maaf kamit tidaklah bodoh dan tak isi ilmu dalam berseni. Kami hanya mengingatkan kerana seni ini salah satu platform pendidikan," kongsinya.
TIDAK SEPATUT DISENSASIKAN
Hal berkenaan telah mendapat perhatian daripada penerbit drama berkenaan, Siti Rosmizah Semail kesal dengan penyebaran rakaman tersebut yang menurutnya mencemar imej dan reputasi produksi mereka.
"Kami amat terkejut BTS Akim dicampak telah diviralkan tanpa tahu cerita yang sebenar. BTS ini di keluarkan oleh orang yang tak bertanggungjawab.
"Kami tak bodoh nak campak budak tu! Yang viral kan BTS ini fikir dulu sebelum nak masuk. Sepanjang scene ni dibuat kanak-kanak ini di jaga dengan elok dan baik. Ibunya pun ada di situ.
"Saya tidak takut sebab kami ikut garis panduan yang betul. Kalau ada yang nak terus viralkan cerita ni sebab nak publisiti murahan, tolong hentikan.
"Maklumlah drama ini tengah meletup. Kami di pihak yang benar. Saya tahu undang-undang. Hentikan cerita yang tidak berfaedah ini.
"Kami akan ambil tindakan undang-undang pada yang ambil BTS ini tanpa kebenaran. Ini kerja mereka di set yang tak bertanggung jawab. Berani kerana benar #DiaImamku," titipnya.
PENGARAH JELASKAN SITUASI SEBENAR
Sementara itu, pengarah drama berantai berkenaan, Feroz Khadir menjelaskan video di belakang tabir itu dimuat naik oleh pihak tidak bertanggungjawab dan hanya memaparkan sebahagian proses penggambaran.
Susulan itu, ia telah mengakibatkan salah faham dalam kalangan warganet.
"Assalamualaikum, saya Feroz Khadir selaku pengarah drama Dia Imamku ingin menjelaskan bahawa adegan yang dikatakan pelakon lelaki mencampak budak kecil itu sebenarnya adalah trik kamera semata-mata.
"Sebelum budak itu dibaling, kru produksi berada sangat dekat dan menyambutnya dengan selamat. Ketika penggambaran itu juga, ibu kepada kanak-kanak itu turut berada di set dan memerhati semua yang berlaku," katanya dalam satu video.
Dipetik daripada Gempak, Feroz berkata pihak produksi amat menitikberatkan aspek keselamatan pelakon terutamanya melibatkan kanak-kanak dan tidak akan sesekali melakukan adegan yang di luar kemampuan atau berisiko mencederakan mereka.
"Video itu tidak menunjukkan keadaan sebenar. Kami mohon maaf sekiranya ia menimbulkan reaksi negatif. Tapi saya harap penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul," ujarnya lagi.