Lemas akibat beg plastik, punca utama dua saudara maut di Semenyih

Iklan

PADA 26 April lalu, negara dikejutkan dengan kes kematian seorang wanita berusia 53 tahun dan anak saudara lelakinya berusia 25 tahun yang disyaki dibunuh di dalam rumah mereka di Semenyih.

Selepas seminggu kejadian, polis mengesahkan bahawa kedua-duanya maut akibat kelemasan disebabkan beg plastik.

Iklan
Iklan

"Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan sesak nafas (lemas akibat beg plastik). Tiada tangkapan setakat ini. Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan.

Susulan kes ini, lima orang saksi iaitu jiran dan saudara terdekat mangsa telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Iklan

Sehingga kini, polis masih belum dapat menentukan dengan tepat tempoh kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat mereka ditemukan. Jabatan Kimia masih menjalankan analisis terhadap anggaran jangka hayat mayat dan berkemungkinan ia melebihi tujuh hari.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak memecah masuk rumah terbabit sebelum menemui kedua-dua mangsa terbaring di lantai ruang tamu.

Iklan

Tindakan ini dibuat berdasarkan laporan oleh seorang lelaki berusia 48 tahun yang juga adik kepada mangsa wanita selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan.

Ketika ditemui, tiada sebarang kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa. Pemeriksaan lanjut di kawasan rumah tidak menemui sebarang kesan pecah masuk atau barang yang digeledah. Malah, rumah mangsa juga berkunci dari dalam. Motif kejadian masih dalam siasatan.