PEMPENGARUH dan usahawan, Datin Vivy Yusof berkongsi berita duka bahawa kini menghidap penyakit autoimun lupus atau systemic lupus erythematosus (SLE).
Hal itu dikongsikan seorang pengguna Thread yang menerima kiriman surat berita (buletin) daripada ahli perniagaan berusia 38 tahun itu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof memang berkongsi penulisan mengenai kisah hidupnya dalam bentuk buletin yang dihantar ke e-mel kepada mereka yang melanggan.
Menerusi salah satu buletin yang dihantar baru-baru ini, ada dalam kalangan pengikutnya yang mendedahkan isi kandungan e-mel tersebut di Threads, memaklumkan tahap kesihatan pempengaruh itu.


Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Artikel berkaitan:
- 'Tidak bersalah, mohon bicara.' Usai pulang dari umrah, Vivy & suami didakwa lagi atas pertuduhan pilihan salah guna dana Khazanah, PNB
- 'Baby Nombor 5 tak dirancang, saya berjuang selamatkannya.' Alami pendarahan, Vivy Yusof keguguran kali ketiga
- SLE: Penyakit 1,000 wajah menghantui ramai wanita. Tak boleh sembuh, tapi boleh kawal simptom
Dalam e-mel tersebut, Vivy mendedahkan bahawa dia menghidap SLE, iaitu penyakit autoimun sistemik yang berlaku apabila sistem imun badan pesakit menyerang sel-sel dan organ tubuhnya sendiri.
"Saya benar-benar berharap saya memberi perhatian lebih dalam kelas biologi saya kerana saya tidak tahu apa yang dia katakan. SLE.
"Anda menghidap lupus," kata doktor itu.
"Lupus ialah penyakit autoimun kronik. Badan awak menyerang diri sendiri.
"Ia ialah penyakit seumur hidup. Malangnya, tiada penawar. Jadi kami perlu memberi anda ubat untuk menguruskan lupus anda," jelas doktor.
Menggunakan platform Sincerely Vivy, ibu kepada empat cahaya mata itu memaklumkan bahawa dia agak terkejut dengan berita itu, dan perkara ini juga mengingatkannya akan seorang sahabat yang pernah menghidap lupus hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.
"Saya terpaksa memahaminya. Saya kemudiannya teringat tentang seorang sahabat yang menghidap lupus, dan dia akhirnya di atas kerusi roda dan mengalami kesakitan yang teruk. Semoga Tuhan memberi kelegaan kepadanya.
"Kebimbangan mula datang bersama dengan kesedihan. Saya tidak mahu ia terjadi kepada saya kerana saya rasa tidak akan dapat menerimanya dengan tenang seperti yang dilakukan oleh kawan saya," titipnya.
Perkongsian itu menerima pelbagai komen daripada warganet yang mana rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap Vivy kerana menghidapi penyakit tersebut. Ujar mereka:
"Kasihan Vivy. We are in the same boat, Vivy. Malah tarikh lahir juga sama dan menghidap SLE. Keep fighting and let’s live life to the fullest."
"SLE ada beberapa tahap. Jika ringan, masih okay. Jika tahap yang teruk boleh masuk Unit Rawatan Rapi, kegagalan organ dan kimoterapi. Ia berulang dalam masa 20 tahun."
10 INFO SLE
1. Di Malaysia, Persatuan SLE Malaysia menganggarkan lebih 10,000 pesakit dikesan menghidap masalah kesihatan tersebut sejak 30 tahun lalu. Pun begitu, angka sebenar dijangkakan mungkin lebih ramai lagi.
2. SLE merupakan penyakit kronik autoimun yang menyaksikan antibodi pesakit bertindak balas dengan tisu badan sendiri.
3. Untuk keadaan tubuh normal, antibodi ialah salah satu sistem pertahanan badan bagi melawan penyakit. Bagaimanapun, imuniti badan pesakit lupus menjadi bercelaru dan menyerang tisu sendiri, ujarnya sambil memberitahu, SLE boleh menjejaskan sistem tubuh seperti kulit, mata, hati, otak dan organ-organ lain di dalam badan.
4. Centers for Disease Control and Prevention memaklumkan, terdapat beberapa jenis lain penyakit lupus selain SLE. Antaranya:
i. Lupus kutaneus (cutaneous lupus): Lupus jenis ini menjejaskan kulit dan menyebabkan ruam pada badan. Ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh, namun lazimnya muncul pada kulit yang terdedah kepada cahaya matahari.
ii. Lupus akibat ubat (drug-induced lupus): Lupus yang disebabkan pengambilan ubat-ubatan. Gejala biasanya berlaku tiga hingga enam bulan selepas seseorang memulakan rawatan dan hilang sebaik sahaja ubat dihentikan.
iii. Lupus neonatal (neonatal lupus): Lupus dalam kalangan bayi berlaku apabila si kecil memperoleh autoantibodi daripada ibu yang menghidap SLE. Masalah kulit, hati dan darah yang dialami akan hilang dalam masa enam bulan. Pun demikian, jantungnya mungkin memerlukan proses implan perentak jantung (pacemaker).
5. Beberapa petanda awal yang ditunjukkan pesakit lupus. Antaranya:
i. Tanda merah pada pipi.
ii. Demam yang berpanjangan.
iii. Jangkitan kuman atau penyakit tertentu yang sukar sembuh dengan rawatan biasa.
iv. Protein dalam air kencing yang menunjukkan gangguan sistem buah pinggang.
v. Bilangan sel darah putih dan merah yang rendah.
6. SLE lebih banyak tertumpu kepada wanita. Selain daripada kemungkinan faktor genetik, salah satunya ialah hormon estrogen wanita yang boleh memberi rangsangan kepada SLE.
7. Wanita hamil yang menghidap SLE perlu mendapat pengawasan rapi oleh pakar daripada pelbagai disiplin perubatan kerana janin dianggap bendasing yang boleh merangsang imuniti SLE dan meningkatkan risiko keguguran.
8. Sukar untuk didiagnosis disebabkan gejalanya mirip dengan penyakit lain. Sekitar 50 peratus penderita betul-betul disahkan menghidapnya selepas lebih empat tahun mendapatkan rawatan dengan berjumpa pelbagai pakar.
9. Dahulu, rawatan menggunakan ubat-ubatan immunosuppressant diperlukan untuk meredakan SLE yang sedang aktif atau meradang. Namun kini, terdapat kaedah rawatan biologi iaitu rawatan menggunakan antibodi.
10. Ubat yang diambil pesakit SLE juga mempunyai kesan sampingan. Pengambilan steroid misalnya, boleh menyebabkan muka bengkak, berjerawat, tumbuh banyak rambut atau bulu roma, dan tulang reput.
11. Pesakit SLE biasanya akan disarankan untuk berjumpa dengan pakar psikologi atau pakar psikiatri jika mereka memerlukan sokongan kesihatan mental tambahan.
Sumber: Threads