PEMPENGARUH dan usahawan Siti Jamumall mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan bercerai dengan suami, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah, dua minggu lalu.
Sedang mengandung anak ketiga, Siti, 26, atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin bagaimanapun mengambil keputusan untuk rujuk dalam tempoh 24 jam.
Pengesahan lafaz cerai dan rujuk pasangan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.


Artikel berkaitan:
- Batal nikah 31 Mei, Siti Jamumall pilih lelaki lain & ijab kabul di Thailand. 'Alhamdulillah'
- Bukan drama, ini kisah benar. Insiden tertukar bayi, taut silaturahim dua keluarga
"Selepas lafaz cerai berlaku, kami sudah rujuk semula. Disebabkan saya kini hamil lima bulan, mungkin juga emosi terbawa-bawa sehingga berlakunya perceraian itu. Saya anggap ini adalah ujian perkahwinan dengan suami.
"Saya minta maaf dan akui silap saya pada suami. Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi dan berdoa semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Mungkin apa yang berlaku ini juga sebagai satu cara agar kami refleksi diri dan proses lebih mengenali," katanya.
Siti berkata, dia berharap tidak timbul lagi sebarang spekulasi mengenai rumah tangga mereka.
"Terlalu ramai yang bertanya dan komen. Jadi, dengan kenyataan ini saya berharap segalanya sudah jelas dan tidak wujud sebarang spekulasi.
"Saya dan suami cuba belajar daripada kesilapan dan lakukan sehabis baik selepas ini. Apa yang sudah terjadi, biarlah berlalu. Kami mahu buka buku baru. Saya reda," katanya.
Terdahulu, pasangan itu bernikah di Satun, Thailand pada 1 Jun 2024.
Sekadar info, Siti pernah berkahwin namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Menerusi perkahwinan pertamanya, beliau dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3.
5 INFO RUJUK
1-Dari segi bahasa, rujuk bermaksud kembali.
2-Dari segi syarak, rujuk ialah mengembalikan isteri yang telah diceraikan dengan talaq rajie kepada ikatan perkahwinan dengan suaminya menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah.
3-Rujuk hanya boleh dilakukan jika isteri itu telah diceraikan dengan talaq rajie iaitu talaq satu dan talaq dua sahaja. Sebaliknya jika isteri itu diceraikan dengan talaq bain, maka rujuk tidak boleh dilakukan.
4-Tempoh rujuk bermula dari saat isteri diceraikan hinggalah tamat tempoh iddah.
5-Bagi isteri masih berhaid dan tidak hamil tempoh rujuk ialah hingga tiga kali suci manakala isteri yang hamil ialah sehingga bersalin atau keguguran. Bagi isteri yang putus haid, tempoh rujuknya ialah tiga bulan (hijrah).