Masih guru ganti selepas 7 tahun, kisah Cikgu Ridzuan undang simpati netizen. 'Tak bergaji tapi tetap datang'

Iklan

GURU ganti, Cikgu Mohamad Ridzuan Mohamed Ali Jinnah menjadi perhatian warga maya.

Masakan tidak, lebih tujuh tahun mencurahkan baktinya di sekolah-sekolah di Pulau Pinang, sumbangannya banyak dan tidak terkira.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, isu Cikgu Ridzuan dibangkitkan rakan sejawat, Cikgu Nabilah yang simpati dengan nasib guru lelaki itu.

Tujuh tahun mengabdikan diri sebagai pendidik, namun masih belum berjaya menjadi guru secara tetap sedangkan sumbangan yang diberikan cukup besar.

Iklan

"Mohamad Ridzuan bin Mohamed Ali Jinnah, orang yang sangat komited dan berdedikasi dalam setiap tugasan yang diberikan. Beliau sudah tujuh tahun menjadi guru ganti (sekarang dipanggil sebagai MySTEP).

Iklan

"Saya ditempatkan pada tahun 2020, beliau sudah ada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, Pulau Pinang sebagai guru ganti. Banyak sekolah sekitar Timur Laut telah mendapat khidmat beliau. Dari satu sekolah ke satu sekolah. Dari satu temu duga ke satu temu duga, namun rezeki untuk memegang jawatan guru tetap masih belum menyebelahi beliau. Bukan tidak pernah mencuba, tetapi setiap cubaan beliau, hanyalah menerima jawapan yang mendukacitakan.

"Pelik bin ajaib mengapa orang sebegini tidak diterima oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)? Apakah kriteria khusus yang SPP mahukan? Adakah sebab beliau tidak mempunyai ikhtisas? Tapi bukankah program interim dan contract of service (COS) memberikan peluang kepada orang sebegini?

"Cubalah turun ke sekolah, lihat sendiri kerja beliau. Mengajar? Segala subjek beliau tapau bersih. Murid-murid sangat sukakan beliau. Katanya, Cikgu Ridzuan pandai mengajar. Mereka mudah faham. Semasa saya menjadi setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), saya mendapat maklum balas positif daripada waris.

"Mereka mengatakan anak-anak suka jika Cikgu Ridzuan yang mengajar matematik sebab mudah faham dan mereka bersemangat nak ke sekolah. Bukan itu sahaja, beliau juga amat aktif membantu sekolah mendapatkan sumbangan dana daripada orang-orang besar di sekitar Air Itam," kongsinya.

Tidak hanya di bilik darjah, keterlibatan Cikgu Ridzuan dalam pelbagai lapangan membuktikan beliau guru yang serba boleh.

Dalam bidang sukan, Cikgu Ridzuan bersungguh-sungguh mencungkil bakat dan melatih pelajar sehingga ke peringkat kebangsaan tanpa mengenakan sebarang bayaran sedangkan ketika itu kontraknya sudah tamat.

"Sukan? Tak payah cakap. Semua acara beliau sapu bersih. Guru tetap pun tidak komited seperti beliau. Siapa sahaja yang nak balik lambat, kan, semata-mata nak tunggu murid menjalani latihan sukan?

"Walaupun kontrak beliau telah tamat, sekiranya acara sukan masih berlangsung, beliau akan datang ke sekolah setiap hari sehingga ke petang demi melatih murid-murid kami dengan penuh dedikasi tanpa bayaran. Telah ramai atlet sekolah yang dilahirkan oleh beliau sehingga ada murid yang berjaya ke peringkat kebangsaan.

"Beliau bukan sahaja melatih pasukan bola baling, malah beliau turut melatih pasukan bola sepak sekolah, pasukan bola jaring, acara olahraga dan sukan lain. Bukan sekadar untuk syarat menghantar wakil, tetapi setiap tahun sekolah kami, SMK Air Itam, Pulau Pinang akan membawa pulang pingat ke sekolah. Pada tahun lepas, seorang murid kami telah terpilih mewakili pasukan Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan dalam acara bola baling.

"Tahun ini, Cikgu Ridzuan telah menjuarai pertandingan bola baling peringkat zon dan layak ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (MSSPP). Semua ini atas jasa beliau yang melatih murid setiap petang. Pada masa ini sebenarnya kontrak beliau sudah tamat. Saya amat yakin semua orang dalam pendidikan pasti tahu bahawa sekolah tiada dana dan tiada bayaran khas kepada beliau. Semua ini beliau buat atas rasa tanggungjawab dan sayang akan murid-murid. Padanya, biarlah tiada pihak yang melihat usaha beliau, yang penting murid-muridnya mendapat kejayaan.

"Berkat usaha dan penat lelah beliau melatih atlet sekolah kami, pasukan Air Itam sekali lagi membawa pulang pingat emas bagi kejohanan Bola Baling MSSPP. Atas kerja keras beliau, tiga orang murid daripada sekolah kami telah tersenarai ke pemilihan bola baling untuk mewakili Pulau Pinang bagi pertandingan peringkat kebangsaan (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia)," tulisnya.

Dalam pada itu, Cikgu Nabilah menggesa pihak yang berkaitan memberikan peluang buat guru berbakat itu.

"Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), SPP, Maktab Rendah Sains MARA, pandanglah orang ini. Orang begini sangat berjiwa besar. Inilah saya katakan jiwa pendidik yang sebenar. Bukan lagi lilin membakar diri tetapi sudah seperti kayu api. Hitam mukanya asbab berjemur setiap hari demi melihat kejayaan anak didik beliau.

"Kerugian yang amat besar kepada pendidikan negara jika KPM melepaskan orang yang berjiwa guru ini. Hanya guru yang mempunyai jiwa mampu melahirkan insan," titip Cikgu Nabilah.

Warga maya turut menyokong gesaan itu dan berharap Cikgu Ridzuan diberikan peluang.

"Guru yang datang sekolah walaupun tiada gaji ini biasanya dia betul-betul suka dengan kerjanya. Dia buat sebab dia suka dan bersemangat."

"Banyak sumbangan beliau. Semoga dipermudahkan rezeki buat Cikgu Ridzuan."

"Cikgu yang sanggup datang walaupun tak dibayar gaji inilah yang mempunyai jiwa dan sayangkan anak muridnya."

"Moga ada sinar untuk cikgu di sekolah swasta atau di sekolah bawah MARA, MRSM. Biar menyerlah di sana, mungkin rezeki cikgu di sana."