LULUH hati ibu, Nuramalina Ibrahim, 37, selepas anak tersayang Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemui tidak bernyawa.
Tragedi di Sungai Felda Teloi Kanan, Baling menyaksikan rintihan sang ibu sebaik sahaja melihat jasad anak tersayang.
"Meskipun pada awalnya saya reda sekiranya hanya jasadnya yang ditemui, tetapi sebaik sahaja terlihat Aqil yang sudah kaku, saya tidak dapat menahan perasaan sedih yang teramat,” ujarnya yang pasrah dengan ketentuan takdir.
Jelas Amalina lagi, arwah merupakan seorang anak yang pendiam, boleh diharap, dan sering membantu menguruskan nenek yang sakit di rumah ketika beliau keluar bekerja.


Kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan telangkup di permukaan air, kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir dia dilihat, sekitar jam 1.31 petang Isnin, kira-kira 24 jam dilaporkan hilang.
Menurut adik Nuramalina, Muhammad Anuar Ibrahim, 32, berkata, jasad Muhammad Aqil Fitri timbul secara tiba-tiba ketika azan Zohor berkumandang dari masjid berhampiran.
"Alhamdulillah, ada orang nampak jasad Aqil muncul selepas azan Zohor... syukur, mungkin Allah hendak tunjuk kekuasaan-NYA,” katanya.
Berikut adalah kronologi kejadian yang membawa kepada penemuan kanak-kanak itu pada 1.31 tengah hari Isnin:
1-Dalam kejadian petang Ahad, mangsa dikatakan mandi di sungai bersama beberapa rakannya di sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum lemas dan tenggelam ke dalam sungai.
2-Berdasarkan maklumat saksi, sembilan sekawan itu baharu pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan dan pergi mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 1.45 petang sebelum bercadang ke sekolah semula untuk menyertai latihan bola sepak pada jam 4 petang.
3-Muhammad Aqil Fitri mandi bersama lapan rakan sebelum dipercayai hilang dibawa arus dalam sekelip mata.
4-Sejurus kejadian, mereka segera memaklumkan hal itu kepada keluarga masing-masing sebelum bantuan tiba.
5-Seorang rakan Allahyarham, Muhammad Akid Muhammad Fahmi, berkata dia berulang kali memanggil nama Aqil dan cuba mencapai tangannya, namun gagal sebelum mangsa hanyut dibawa arus dalam sekelip mata.
6-Rakannya, Putera Muhamad Faris Fadli, 12, memaklumkan bahawa Aqil muncul dalam mimpinya dan meminta pertolongan.
7-Menurut Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, keadaan dasar sungai yang tidak sekata, dengan kedalaman antara 0.5 meter hingga enam meter, turut menyukarkan pergerakan bot penyelamat di kawasan itu.
8-Bagaimanapun, mayat kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan telangkup. Bomba percaya mayat ditemui hasil kaedah pengapungan yang dilakukan jurumudi bot bomba dengan teknik pusingan di permukaan air yang membantu menaikkan mangsa ke permukaan.
9-Operasi mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
DIAM MUNGKIN PETANDA
Bapa saudara Allahyarham, Muhammad Anuar berkata beliau dan keluarga tidak menyangka perubahan sikap Aqil yang lebih pendiam sepanjang minggu lalu adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
SinarPlus mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap insiden ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa aktiviti riadah air.