SELURUH negara berduka susulan kemalangan membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan. Dalam kemas kini terakhir, nahas tragis membabitkan lori membawa muatan batu dan kenderaan FRU meragut nyawa sembilan anggotanya.
Imbas kembali, Pasukan Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit) atau lebih dikenali dengan singkatan FRU pernah menyaksikan kemalangan berdarah menyayat hati yang mengorbankan 11 anggotanya dan empat orang awam 35 tahun lalu di Lebuh Raya Karak.
Berikut fakta kejadian yang diringkaskan berkaitan tragedi hitam itu:
1-Pada 28 Februari 1990, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima perkhabaran sedih apabila sepasukan FRU dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur yang dalam perjalanan menjalani latihan masa di Kuala Terengganu, Terengganu mengalami kemalangan di Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.


2-Kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan tersebut telah mengorbankan 11 anggota FRU dari Trup 4B yang ketika itu berada dalam trak paling hadapan bersama empat buah kenderaan FRU lain, sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.
3-Insiden tersebut turut mengorbankan empat orang awam.
4-Siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh masalah brek yang dihadapi oleh bas tersebut.
5-Bas tersebut gagal dikawal ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh dua buah kereta lalu bertembung dengan trak FRU berkenaan.
6-Pertembungan kuat yang berlaku telah menyebabkan trak FRU terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak daripada perlanggaran tersebut.
7-Lima anggota FRU telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah.
8-Mereka yang terkorban adalah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong.
10 INFO FRU
a-FRU ditubuhkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu pada 5 Disember 1955.
b-Bermula dengan tiga trup di awal penubuhannya, FRU telah menempa kejayaan mengatasi masalah ketenteraman awam seperti pemogokan, tunjuk perasaan dan rusuhan yang berlaku di awal tahun 1950-an.
c-Peranan pasukan ini khusus untuk menyuraikan perhimpunan haram, penumpasan rusuhan dan menjalankan tugas-tugas lain berkaitan dengan keadaan ketenteraman awam.
d-Unit ini adalah serba lengkap dan berkemampuan, bermobiliti tinggi dan menjadi Unit Simpanan Ketenteraman Awam.
e-Apabila unit ini tidak terlibat dalam tugas-tugas ketenteraman awam, mereka boleh digunakan oleh Pegawai Memerintah dalam tugas membantu Ketua Polis Daerah, Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas yang merangkumi:
*Tugas mencegah jenayah seperti rondaan khas sebagai tambahan kepada rondaan Bit/Patrol di kawasan yang sering berlaku jenayah;
*Bantuan keanggotaan semasa bencana (banjir, kebakaran, tanah runtuh, nahas udara dan lain-lain ) untuk menyelamatkan nyawa, memindahkan penduduk, mengepong kawasan dan mencegah rompakan;
*Operasi polis secara besar-besaran seperti kepungan dan pemeriksaan, penapisan, rondaan intensif dan lain-lain
*Tugas kawalan orang ramai semasa lawatan orang kenamaan, sukan, perarakan, perhimpunan dan lain-lain.
f-FRU juga mempunyai unit water canon, unit berkuda dan institusi latihan di Sungai Senam, Ipoh, Perak.
g-Sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan undang-undang dan serta bagi melicinkan perlaksanaan tugas, trup khas wanita telah diwujudkan.
h-Prestasi FRU dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa. Ini jelas apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon kepada PDRM bagi menempatkan pasukan pencegah rusuhan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste.
i-FRU tidak boleh ditugaskan kecuali dengan arahan atau dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman.
j-Antara operasi melibatkan FRU ialah rusuhan perkauman 13 Mei 1969, operasi penangkapan Ibrahim Libya ketika insiden Memali di Baling, Kedah pada tahun 1985, mengendalikan insiden tanah runtuh Bukit Antarabangsa bersama Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi sivil.