'Tak boleh rujuk, pentingnya ilmu agama...' Ustaz jelas status cerai Siti Jamumall & Aiman, ini adab lafaz talak dalam Islam

Iklan

PERCERAIAN pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall dengan suami, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, mengejutkan ramai.

Manakan tidak, baharu sahaja berpisah dan rujuk dalam tempoh 24 jam 6 Mei lalu, Aiman atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah melafazkan talak sebanyak tiga kali kepada Siti, 26, yang sedang bersiaran langsung di laman sosial TikTok.

Iklan
Iklan

Menerusi video yang dimuat naik semula oleh pengguna TikTok, kedua-dua kelihatan 'panas' dan berlaku pertelingkahan antara Aiman dan Siti Sebelum talak diucapkan.

Siti atau nama lengkap Siti Suriani Wahiddin yang kini sedang hamil lima bulan sebak menerima lafaz berkenaan dan kemudian ditenangkan oleh dua individu lain.

Iklan

Video viral berkenaan telah mendapat perhatian agamawan termasuk Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed.

Menerusi laman sosial miliknya, PU Syed berkata, pasangan tersebut perlulah mendapatkan rujukan daripada pihak mahkamah berhubung perceraian mereka terlebih dahulu.

Iklan

Namun, jika perceraian tersebut sah, maka tiga talak sudah dijatuhkan berikutan mereka juga pernah berpisah sebelum ini.

"Difahamkan mereka telah bercerai sebelum ini dan kali ini lafaz kedua talak diberikan.

"Ia telah mencukupkan kepada tiga kali kouta talak maka talak ini disebut talak bain kubro. Bagi kes ini, jika sah talak, mereka tidak boleh lagi rujuk sehinggalah isterinya bernikah dengan suami yang lain.

"Syarat berkahwin lain, suami yang baru itu mestilah pernah ‘bersama’ dengan isteri tersebut lalu mereka bercerai. Kemudian barulah isteri boleh berkahwin semula dengan bekas suami.

"Jangan upah pak turut atau ‘cina buta’, pernikahan tersebut tidak sah," kongsinya.

Menerusi hantaran yang sama, PU Syed menitipkan nasihat buat pasangan suami isteri agar tidak mempermainkan talak dan cerai.

PU Syed

"Berhati-hatilah, jangan jadikan cerai dan rujuk sebagai konten, pasti akan dapat kecaman.

"Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh, salah satunya adalah cerai. Walaupun kita bergurau dengan isteri, jatuh talak juga," kongsinya.

"Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court (jumpa di mahkamah),” katanya dalam video berkenaan yang dimuat naik semula di TikTok.

ADAB BERCERAI

Sementara penyampai radio Zayan, Da'i Tajdid Hadhari turut memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang tata cara melafazkan talak kepada lelaki yang bergelar suami.

Tidak boleh semberono, Da'i Tajdid menjelaskan lima adab yang dianjurkan dalam Islam.

"Pempengaruh diceraikan suaminya. Pertama kali talak satu, kemudian dua, maka lengkap talak tiga.

"Islam menekankan betapa pentingnya ilmu agama dan sabar dalam apa jua situasi. Berikut adalah antara adab-adab melafazkan talak.

"Pertama, talak jangan dilafazkan dengan perasaan sehingga talak tiga atau talak dua sekali gus. Sebenarnya, satu talak sudah cukup. (Cukup) sekadar satu dahulu," katanya.

Namun Jika pasangan suami isteri sudah benar-benar musyawarah, mendapatkan nasihat dan telah cubaan berdamai namun tidak berjaya suami perlu melafazkan dalam keadaan isteri suci.

"Talak mestilah dijatuhkan ketika isteri sedang suci. Menurut Imam al-Ghazali, adab pertama bercerai adalah menjatuhkan talak sewaktu isteri suci.

Da'i Tajdid Hadhari

"Tempoh suci itu bermakna tidak berlaku hubungan intim antara kedua-duanya.

"Jika talak dijatuhkan dalam keadaan isteri sedang haid atau telah berhubungan intim, maka tempoh iddah akan menjadi lebih panjang," kongsi Tajdid.

Manakala yang ketiga, suami yang ingin melafazkan cerai tidak boleh berada dalam keadaan mengikut perasaan marah.

"Suami perlu tenang dan lemah lembut kerana ketika (lafaz cerai) kerana telah cukup bersedia.

"Suami tidak mengikut perasaan sehingga menyesal selepas melafazkannya," kongsinya.

Seterusnya adab keempat, Da'i Tajdid menekankan agar lelaki dan wanita tidak membuka pekung bekas pasangan masing-masing dan seterusnya menyerahkan kembali bekas isteri kepada walinya.

"Keempat, tidak kira pihak suami atau isteri jangan mendedahkan aib selepas bercerai.

"Jika sudah bercerai, kembalikan isteri kepada ibu dan bapanya dalam keadaan yang baik. Usah berdendam dan tidak puas hati sehingga melakukan perkara yang zalim kepada bekas isteri

Dalam pada itu, Da'i Tajdid menekankan suami perlu memiliki asas agama sebagai panduan dan teras kehidupan.

Moga info dikongsi PU Syed dan Da'i Tajdid ini menjadi panduan yang berguna buat pasangan yang ingin berpisah.

Sekadar info, berikut adalah jenis dan tempoh iddah bagi isteri yang telah ditetapkan dalam Islam:

-Isteri yang masih mempunyai haid, tempohnya tiga kali suci

-Isteri yang telah putus haid/belum haid, tempohnya tiga bulan

-Isteri yang sedang hamil, tempohnya selepas melahirkan/ keguguran anak

-Isteri yang kematian suami, tempohnya empat bulan 10 hari.