KEMALANGAN membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) benar-benar menyayat hati.
Impak hebat jentera pasukan itu dengan lori membawa muatan batu kerikil, sembilan wira beret merah gugur dalam tugas.
Baru-baru ini, Sinar Harian sempat menemuramah salah seorang anggota terselamat, Koperal Nizam Tarmizi, 38, yang berkongsi situasi ketika kejadian.
Dalam sebak menceritakan, anggota FRU Unit 5 Sungai Senam itu berkata bencana itu berlaku di luar jangkaan.
"Masa berdentum (perlanggaran) kami dalam keadaan santai. Kenderaan dihentak kuat (seolah terlanggar sesuatu).
"Semasa dentuman, saya dengar ada kawan-kawan sebut Allahuakbar dan saya kemudian pengsan.
"Apabila tersedar, saya dapati berada di atas orang, terbaring di atas kawan-kawan. Saya lihat rakan-rakan. Ada yang tidak sedarkan diri termasuk arwah Koperal Amir (Amiruddin Zabri), kakinya longlai dan muka penuh darah," kongsinya dengan riak sebak pada wajah.
LORI TERBALIK & RAMAI BERTINDIH
Kata Nizam, rakan-rakan lain datang menyelamat dan beliau baharu sahaja tersedar dari pengsan.
"Selepas dentuman itu, lori mungkin terbalik. Apabila saya tersedar kawan-kawan datang selamatkan kami.
"(Saya pengsan) tidak sampai seminit, mungkin 10 saat begitu agaknya. Apabila kawan-kawan angkat, saya masih dalam keadaan mamai dan pening.
"Kalau satu orang hempap pun sudah cukup berat, inikan bertindih beramai-ramai, sebab itu ramai yang cedera parah,” ujarnya.
"Saya berada di belakang sekali dalam kenderaan. Mungkin itu yang menyelamatkan saya. Tapi kawan-kawan di depan semua tertindih, sebab kami 18 orang dalam satu kenderaan," katanya.
Nizam juga empat mengimbas kembali kenangan bersama tiga rakan rapat yang sudah pergi selama-lamanya.
"Mereka juga sempat main bola tampar pagi tu, main bertiga saja. Kawan-kawan sempat gurau kata macam buang tabiat,” ceritanya.
Nahas yang berlaku selepas kenderaan dinaiki kesemua 18 anggota FRU itu dirempuh lori membawa muatan batu kerikil pada jam 8.51 pagi yang turut mengakibatkan lapan lagi anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka ialah Sarjan S Perumal, 44; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Manakala Koperal Mohd Roslan yang cedera parah dalam kejadian tersebut, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
PEMANDU LORI TIDAK MENGAKU SALAH
Sementara itu, pemandu lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan maut tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini bagi pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain menghidap penyakit asma.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Sumber: Instagram Sinar Harian