DALAM kesibukan orang ramai memuat naik ucapan manis bagi mengenang jasa dan pengorbanan insan bergelar pendidik, pelakon jelita Fasha Sandha turut meraikan seorang ‘guru kehidupan’ yang paling dekat di hatinya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkongsi momen istimewa apabila ulang tahun kelahiran ibunya diraikan serentak dengan sambutan Hari Guru.
Dalam hantaran berkenaan, Fasha turut memuat naik beberapa keping foto kenangan lama bersama permaisuri hatinya, Hatijah Teh Man disusuli coretan panjang yang cukup menyentuh hati.
Fasha menzahirkan rasa syukur dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja menjadi sumber kekuatan, malah turut mewariskan kecantikan semula jadi yang dimilikinya hari ini.
"Dearest mama, ibuku, ratu hatiku, inilah ibu saya. Jika ramai tanya kenapa kami comel, kami dapat kecomelan ini daripada ibu,” tulisnya.
Bintang filem Anak Mami Kembali itu juga tidak menyembunyikan hakikat bahawa hubungan mereka kadangkala diuji dengan perbezaan pendapat.
Namun, isteri kepada pelakon, Aidil Aziz tetap yakin ikatan kasih antara seorang ibu dan anak tidak akan pernah terlerai, walau dilanda pelbagai rintangan.
"Biasalah, mama gen (generasi) lain, kita semua kan gen Z, jadi pemikiran selalu tak sama.
"Adakalanya merajuk, tapi ini ibu yang mengandungkan dan membesarkan kita, jadi hati ini auto cepat sejuk apabila dengan wanita bernama ibu," ungkapnya.
Pelakon berasal dari Johor Bahru itu turut menitipkan luahan tentang perubahan ibunya yang kini mudah tersentuh dan cepat merajuk, seiring perjalanan usianya.
"Sifat seorang ibu, semakin berusia semakin jadi budak-budak balik, cepat tersentuh, merajuk, membebel, itu lumrah seluruh dunia," katanya.
Sebagai penutup coretan panjangnya itu, anak kedua daripada empat beradik tersebut memohon agar peminat mendoakan supaya ibunya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta kebahagiaan yang berpanjangan.
Baginya, wanita hebat berkenaan berjaya membesarkan Fasha dan adik-beradiknya dengan penuh kasih sayang dan keselesaan, walaupun tanpa kehadiran kasih sayang seorang bapa.
"Kepada mama, insan yang membesarkanku tanpa susuk seorang bapa, saya sayang mama.
"Terima kasih kerana membesarkan kami dan menjadikan Sha (Fasha) siapa diri Sha sekarang. Tanpa doa mama, Sha tidak akan berjaya,” tulisnya.