ZAMAN moden kini, tidak perlu orang lain untuk menyebarkan aib seseorang.
Cukup tuan punya badan sendiri memuat naik kandungan di media sosial, segala perihal yang nyata dan tersembunyi menjadi perhatian umum.
Baru-baru ini, kecoh seorang pempengaruh media sosial bertikam lidah dengan suaminya sehingga diceraikan melalui siaran langsung yang dibuat di aplikasi TikTok.
Bimbang kejadian tersebut berulang lagi, pelakon dan usahawan, Betty Rahmad tampil memberi teguran kepada golongan pempengaruh supaya tidak menjadikan media sosial sebagai ‘kiblat’ dalam berkongsi segala hal rumah tangga.
Menerusi perkongsian beliau di platform yang sama, beliau mengatakan ada perkara yang perlu disimpan rapi untuk diri sendiri demi mengelakkan maruah pasangan terlondeh.
"Media sosial hanya sebuah platform, tapi ramai yang menjadikan media sosial sebagai ‘hidup’. Pengikut yang ada dalam media sosial bukan semuanya hadir dengan niat yang baik.
"Jangan sampai meletakkan ‘live’ lebih penting daripada maruah dan kewarasan. Wanita yang sudah berkahwin dan bersuami, keutamaan kita tetap pada suami dan anak-anak.
"Bukan semua benda boleh dikongsikan, lebih-lebih lagi aib pasangan dan rumah tangga. Ada isu yang perlu kita simpan kemas. Ketika sedang bergaduh, jangan saling memprovokasi," kata beliau.
Pempengaruh diceraikan secara 'live', Betty Rahmad beri teguran. 'Luahkan kepada ALLAH, bukan depan kamera'
Iklan