MINYAK zaitun sering dianggap sebagai ‘emas cair’ dalam dunia pemakanan sihat.
Ia bukan sekadar bahan dapur, malah telah menjadi simbol gaya hidup sihat, terutama dalam diet Mediterranean yang terkenal di seluruh dunia.
Mengandungi bahan aktif baik semulajadi, tidak hairanlah jika minyak zaitun ini telah digunakan sejak berabad-abad lamanya dalam bidang perubatan dan kecantikan.
Namun begitu, tidak semua minyak zaitun dicipta sama.
Menurut Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Olive Jardin Sdn Bhd, Dr Suhana Samat, kualiti minyak zaitun boleh berbeza dengan ketara.


Pemilihan jenis minyak zaitun yang tepat, asli serta berkualiti tinggi adalah kunci untuk mendapatkan manfaat kesihatan sebenar seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran serta disokong penuh oleh kajian saintifik.
Antara jenis minyak zaitun yang terdapat di pasaran adalah seperti berikut:
- Minyak Zaitun Ekstra Virgin (Extra Virgin Olive Oil, EVOO) – Minyak zaitun paling tinggi kualiti yang dihasilkan dari buah zaitun segar melalui proses ekstraksi perahan sejuk dan hanya melabatkan proses mekanikal sahaja.
- Minyak Zaitun Virgin – Melalui proses mekanikal yang sama, tetapi kualiti minyak ini adalah sedikit rendah berbanding EVOO dengan peratusan nilai asid lemak bebas yang sedikit tinggi.
- Minyak Zaitun Lampante – Minyak zaitun paling rendah mutu serta kualitinya. Tidak sesuai untuk dimakan kerana kualitinya rendah dan perlu melalui proses penapisan.
- Minyak Zaitun Bertapis (Refined Olive Oil) – Minyak yang telah melalui proses penapisan kimia untuk menghilangkan kecacatan rasa dan bau.
- Minyak Zaitun Pomace – Minyak yang diekstrak daripada hampas zaitun menggunakan bahan kimia dan haba.
Daripada jenis yang disenaraikan, kajian menunjukkan bahawa minyak zaitun ekstra virgin yang berkualiti tinggi, khususnya yang diperoleh daripada tuaian awal (early harvest), mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.
"Saya akan menerangkan secara ringkas mengenai manfaat kesihatan minyak zaitun ekstra virgin.
"Kajian menunjukkan bahawa pengambilan minyak zaitun ekstra virgin secara konsisten dan berterusan, disertai dengan diet yang seimbang serta gaya hidup sihat dapat membantu mengurangkan risiko pengulangan kepada penyakit kardiovaskular."Kajian juga membuktikan secara khusus, ia memberi kesan positif terhadap profil lipid, iaitu membantu meningkatkan paras HDL (high-density lipoprotein) yang baik untuk kesihatan serta dapat membantu mengawal paras LDL (low density lipoprotein) dan juga trigliserida,” kata Dr Suhana.
Baik untuk kesihatan
Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan minyak zaitun ekstra virgin yang berkualiti tinggi dan tulen dan baik untuk kesihatan tubuh badan.
Dr Suhana turut menambah ia juga baik untuk wanita yang mengalami fasa menopaus.
"Manfaat minyak zaitun ekstra virgin sangat luas, bukan hanya menangani masalah sindrom metabolik tetapi ia juga baik untuk kesihatan.
"Namun, untuk memperoleh manfaat kesihatan secara maksimum, sebagai pengguna perlu memastikan minyak zaitun yang diambil benar-benar tulen dan berkualiti tinggi,” jelasnya.
Minyak tiruan
Isu utama yang membimbangkan di Malaysia adalah kewujudan minyak zaitun tiruan atau minyak yang telah rosak akibat proses pengoksidaan.
Lebih merisaukan, pengguna dalam tidak sedar telah menggunakan serta mengamalkan minyak zaitun tiruan ini selama bertahun lama. Ini secara tidak langsung mengundang kepada pelbagai risiko kepada masalah kesihatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Maklumat dan Korporat di Olive Jardin Sdn Bhd, Dr Muhammad Ashraf Mohd Salleh menjelaskan, minyak zaitun yang rendah mutunya atau sudah rosak perlu melalui proses penapisan kimia bagi menghilangkan kecacatan bau dan rasa.
Proses ini turut menghapuskan banyak nutrien penting dalam minyak zaitun, menjadikannya kurang berkesan untuk kesihatan.
Oleh itu, pengguna perlu lebih berwaspada dan mengetahui cara mengenal pasti minyak zaitun asli.
Antara kaedah terbaik adalah dengan memeriksa bau, rasa, dan memastikan adanya sijil keaslian daripada badan berautoriti seperti Majlis Minyak Zaitun Antarabangsa (IOC).
"Pengguna yang tidak berhati-hati mungkin mengambil minyak yang telah rosak, yang bukan sahaja tidak bermanfaat tetapi boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
"Sebagai pengguna, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap produk yang diambil memberi manfaat kepada kesihatan dan bukan sebaliknya,” tambah Dr Ashraf.
Minyak zaitun yang berkualiti tinggi bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan untuk mendapatkan manfaat sebenar yang ditawarkan oleh minyak zaitun ekstra virgin.
Kesedaran mengenai pemilihan minyak zaitun asli dan berkualiti tinggi perlu dikongsi kepada orang ramai agar dapat membuat keputusan yang lebih baik demi kesihatan jangka panjang.