'Abah insan terpilih, pergi di tempat molek...' Isteri dedah Abdullah suka bersedekah & tolong orang

Iklan

PEMERGIAN jemaah Malaysia, Abdullah Mat, 59, ketika melakukan tawaf sunat mengundang keinsafan dan dicemburui ramai.

Ramai yang tertanya-tanya apakah amalan yang dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya sehingga dijemput kembali dalam keadaan yang mulia.

Dedah isteri, Sarifah Hassan, 57, arwah suaminya seorang bapa penyayang, selain gemar membantu orang dan bersedekah.

Katanya, sejak di Madinah lagi, arwah sering membuat sabil dan bersedekah.

"Arwah merupakan suami yang baik, seorang bapa penyayang dan suka membantu orang. Pada bulan Ramadan, dia akan sumbang beras dan minyak masak kepada penduduk di kampung dia, kampung saya dan ibu bapanya. Hari Jumaat pula, dia kerap belanja orang makan roti canai di kedai berhampiran rumah.

"Di sini (Makkah) pun kawan-kawan dia beritahu, dia beli jubah pelbagai saiz untuk disedekahkan kepada rakan-rakan di tanah air,” katanya.

Mengenang suami tersayang, Sarifah yang merupakan seorang guru sebak kerana sejak di Malaysia lagi Abdullah selalu berpesan supaya tidak meninggalkannya kerana gangguan saraf mata dihidapinya.

Kata Sarifah kata-kata itu dilafazkan arwah sudah lama iaitu sebelum mereka berdua berangkat ke Tanah Suci lagi.

Malah Abdullah selalu berpesan supaya tidak meninggalkannya kerana gangguan saraf mata dihidapinya.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Kali terakhir beli kek & roti bersama

Mengimbas detik terakhir bersua dengan lelaki dicintai, Sarifah bertemu suaminya pada Ahad selepas minum air zamzam dan membeli roti serta kek di kedai bersama.

Menurutnya, selepas kembali ke bilik penginapan masing-masing pada tengah hari Ahad, suaminya sempat memintanya menunjukkan cara menggunakan penyangkut baju lipat yang dibawa dari tanah air.

"Masa itu saya tengok dia biasa sahaja. Sebenarnya saya yang tak sihat kerana sudah dua hari sakit perut serta cirit-birit.

"Dia sempat pesan suruh saya makan ubat,” katanya.

Namun pada 4.17 pagi, Sarifah yang sedang terpaksa menerima kenyataan Abdullah sudah dijemput ALLAH.

"Malam itu saya dan rakan sebilik ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib dan Isyak, namun suami dan rakan-rakannya tidak ikut sama kerana mereka mahu berehat.

"Mereka pergi solat di Masjidil Haram waktu Subuh tetapi saya dan rakan sebilik yang juga isteri kepada rakan-rakannya tak ikut. Itu ketentuan untuk saya dan untuk dia. Memang reda, tetapi hati nak reda sebab terkejut... mungkin makan masa,” katanya.



Ibarat tiada sayap sebelah

Pun begitu, beliau reda dengan pemergian Abdullah sementelah suami tercintanya itu terpilih menghembuskan nafas terakhir di tempat yang diimpikan setiap Muslim.

Malah Sarifah bersyukur kerana anak-anak juga tenang dan positif menerima berita kematian bapa mereka.

"Anak-anak cakap, jangan bimbang, Abah insan terpilih.

"Arwah pergi tempat molek (baik). Alhamdulillah anak-anak beri sokongan. Mereka kata tunggu saya balik.

"Memanglah kalau tengok dari segi zahir nampak kuat, tetapi dalaman tak kuat. Saya bergantung sepenuhnya kepada suami. Bila arwah suami dah tiada, ibarat tiada sayap sebelah,” katanya lagi.

'Abah tiada sebarang penyakit' - Anak

Pemergian arwah meninggal empat cahaya mata yang berusia 19 hingga 28 tahun.

Anak kedua, Dr Anis Nabihah Abdullah, 26, yang merupakan seorang pegawai perubatan mengakui terkejut menerims berita pemergian bapa tersayang pada jam 12 tengah hari, Isnin.

"Abah sudah tiada, sehingga sekarang kami masih terkejut. Abah tidak mempunyai sebarang penyakit, sebagai doktor kesihatannya saya sentiasa pantau.

"Mama telefon dan beritahu abah sudah tiada. Saya tanya balik, abah ke mana?

"Mama cakap abah sudah meninggal. Kami tidak sangka masanya sudah tiba dan sehingga sekarang masih terkejut kerana abah pergi dalam keadaan sihat,” katanya.

Sebaik menerima berita tersebut, beliau terus menghubungi nombor telefon ayahnya dan panggilan itu dijawab oleh rakan jemaah yang bersama arwah di hospital.

Menurut jemaah terbabit, arwah rebah semasa melakukan tawaf pada pusingan kelima di hadapan Kaabah.

"Kebetulan di lokasi kejadian terdapat dua orang doktor dari Pakistan dan India yang memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta memeriksa nadi sebelum abah dibawa ke hospital,” jelasnya.



Sempat minum air zam zam

Menurut rakan sebilik Allahyarham Abdullah, Ashri Mohamed, 52, yang turut berada di sisi ketika detik akhir hayat lelaki itu berkata arwah sempat minum air zam zam.

"Selepas minum air zam zam, arwah minta kami berempat rakam gambar sebagai kenang-kenangan.

"Ketika melakukan pusingan kelima tawaf sunat, arwah tiba-tiba rebah di depan mata saya,” katanya.

Imbas kembali, Ashri berkata, ketika hampir pengsan Abdullah sempat berpaut padanya dan dia menyambut tubuh badan serta mendakap kepala arwah daripada terjatuh ke lantai.

"Waktu itu kami baru lepas lalui lampu hijau yang sejajar dengan Hajar Aswad, saya lihat arwah berjalan makin lama makin perlahan. Bila tengok macam itu saya terus rapatkan diri dengannya.

"Lagi seminit azan Subuh nak dilaungkan arwah rebah depan saya,” katanya.

Menurut Ashri keadaan kelam-kabut kerana jemaah lain sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh, seorang lelaki warga India memberitahu dirinya adalah seorang doktor dan memulakan bantuan pernafasan (CPR) kepada arwah.

"Lelaki berkenaan meminta kami hubungi pasukan perubatan dan arwah dibawa ke unit kecemasan hospital.

"Selepas beberapa minit memasuki wad kecemasan, doktor di memaklumkan arwah sudah ‘tiada’ dan minta maklumkan kepada warisnya," kongsinya.

Jelas Ashri, beliau tidak dapat memastikan sama ada arwah menghembuskan nafas terakhir di Masjidil Haram ataupun di hospital namun sempat mengajarnya mengucap ketika rebah.

'Saya kagum dengan dia suka bersedekah' - Rakan sebilik



Merupakan rakan sebilik Allahyarham sejak berada di Madinah, Ashri mengakui arwah disenangi kerana peramah, ceria, suka bergurau dan rajin bersedekah.

"Saya kagum dengan dia, suka bersedekah. Bila pergi beli jubah dan sebagainya hujung ayatnya mesti kata nak bersedekah.

"Paling saya tak boleh lupakan ketika mandikan jenazah, wajahnya sama sahaja seperti hidup langsung tiada perubahan,” katanya.

Terdahulu, SinarPlus berkongsi berita pemergian Abdullah yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pihak Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan dengan sebaiknya.

Terdahulu, pada 16 Mei lalu, negara menerima berita kematian seorang jemaah dari Johor yang juga Jemaah dalam Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ), Allahyarham Norizah Tambunan Nordin akibat serangan jantung ketika berada di dalam Masjidil Haram.

Allahyarham Norizah yang tidak sempat untuk menunaikan umrah wajib dibawa ke klinik berdekatan, kemudian ke Hospital Jiwar, dan menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Farhana Abdul Manan & Hazelen Liana Kamarudin)