TRAGEDI menyayat hati menimpa sebuah keluarga apabila puteri kesayangan mereka maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 di sebuah kondominium dekat Puchong, Subang Jaya pada Selasa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Hasil siasatan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di tingkat lima bangunan berkenaan selepas terjauh dari rumah pengasuh,” katanya dalam kenyataan, yang dikeluarkan hari ini.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap di kediaman pengasuhnya. Malangnya, tingkap berkenaan tidak dilengkapi dengan jeriji keselamatan, sekali gus menyumbang kepada tragedi berdarah itu.
Ketika kejadian berlaku, ibu mangsa sedang menjaga seorang lagi anak yang masih menjalani kuarantin di rumah, manakala bapanya pula berada di tempat kerja.
Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam insiden tragis tersebut. Polis juga telah mengambil keterangan daripada pengasuh bagi membantu melengkapkan siasatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.