DI SEBALIK senyuman yang terukir pada wajahnya, tersembunyi kisah cinta yang lebih mendalam daripada sekadar kata-kata. Asdina Ariffin Suwadi dari Taman Bertam Impian, Melaka, membuktikan bahawa cinta sejati tidak mengenal batas.
Apabila isterinya, Noor Syamimi Rohim, disahkan menghidap tibi meningitis pada 2022, kehidupan mereka berubah sekelip mata.
Syamimi bukan sahaja kehilangan daya penglihatan, malah memori indah mereka bersama turut lenyap dari ingatannya. Namun, Asdina tidak pernah goyah.
Dengan penuh kasih sayang dan kesabaran, dia menjaga Syamimi, membantu dalam setiap langkah pemulihan dan terus mencintainya tanpa syarat.
Kisah mereka adalah bukti bahawa cinta sejati tidak hanya hadir dalam kebahagiaan, tetapi juga dalam menghadapi ujian hidup bersama.
Tular di laman sosial, keutuhan hubungan pasangan ini menjadi perhatian warganet. Menerusi TikTok Asdina berkongsi kisah mereka berdua semata-mata untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain.
Biarpun tidak pernah berpengalaman menjaga orang sakit, lelaki berusia 32 tahun itu terus belajar termasuk menguruskan Syamimi dan membantunya melakukan senaman dan fisio setiap hari.
Dalam temu ramah dengan stesen radio, Asdina sebak mengimbas kembali ujian yang menimpa pada 2018.
Mengimbau kembali detik-detik perubahan isterinya, dia yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, keadaan berlaku terlalu drastik iaitu ketika takbir raya Aidiladha pada tahun 2018 di mana Syamimi secara tiba-tiba menjerit dan memberitahu kepalanya berpusing selain keadaannya semakin lemah ketika berada di kampung isterinya Kodiang, Kedah.
Menurutnya, segera membawa isteri ke Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dan dalam tempoh mendapatkan rawatan, doktor memaklumkan isterinya mengidap jangkitan kuman pada bahagian otak sebelum dia meminta isteri dipindahkan ke Hospital Melaka.
Katanya, kemudian diberitahu bahawa cecair pada bahagian otak Noor Syamimi mengalami masalah dan mereka memberikan pilihan sama ada biarkan keadaan isteri begitu atau menjalani pembedahan membuang lebihan cecair namun risikonya 50-50," katanya.
Tambahnya, kenangan yang tidak dapat dilupakan sebelum Syamimi hilang ingatan.
"Saya memilih untuk melakukan pembedahan, dan pada pembedahan kedua, penglihatannya mula kabur hingga tidak dapat melihat selain daya ingatannya mula lemah dan tidak dapat mengingati banyak perkara.
"Pada satu hari, selepas kami keluar bersama, pagi keesokannya dia terus lupa saya.
"Perkara itu berterusan selama empat hari. Menjelang hari kelima, dia ingat saya dan minta terus balik ke Kedah.
"Bila sampai ke Kedah, Syamimi minta kepada saya untuk menggunakan kerusi roda. Ketika itu juga doktor pula dapat mengesan ada jangkitan kuman dalam darah," kongsinya.
"Kepala Syamimi terpaksa ditebuk dua kali dalam masa tiga minggu untuk memasang tiub kekal yang menyalurkan air dari kepala ke perut," kata Asdina merangkum detik-detik genting.
Bermula detik itu, bermulalah kehilangan upaya si isteri yang menuntut kesabaran pengorbanan lebih besar.
Kata Asdina, Syamimi hanya memiliki ingatan jangka pendek.
"Kemudian Syamimi mula lumpuh, buta dan kami mengesan dia juga mengalami memory lost (hilang ingatan).
"Dia tidak boleh ingat saya dan hari perkahwinan kami. Kini yang dia ingat hanya keluarganya," tuturnya.
Menyelami perasaan Asdina yang seakan 'tidak wujud' dalam ingatan Syamimi, lelaki itu sebak mengenang pengorbanan si suri hati.
"Ya ALLAH, saya rasakan seperti dunia ini sudah tiada kerana dia adalah orang yang memberikan semangat dan sokongan ketika saya jatuh.
"Apabila saya tiada job, dialah yang akan ada dengan saya. Apa yang dia selalu katakan, 'suami, kalau awak tiada job, jangan risau. Saya akan baca al-Quran dan selepas saya khatam percayalah ALLAH akan berikan you rezeki'.
"Lillahitaala memang ALLAH kurniakan ia (kelebihan itu) kepadanya. Selepas dia khatam al-Quran, saya akan dapat job yang lebih daripada apa yang saya dapat sebelum ini," kongsinya.
Kasihnya kepada suami tiada batas. Kata Asdina, Syamimi tidak betah melihat dia kesakitan dan meminta agar penyakit dialami dipindahkan ke tubuhnya.
Malah Syamimi pernah meluahkan jika apa-apa terjadi kepada kesihatan Asdina, dia akan sanggup menjaganya. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.
"Apa yang terjadi adalah plot twist. Dia yang sakit dan saya rasa benda (penyakit) itu untuk saya, tetapi saya yang berkorban deminya," kongsinya.
Lafaz taklik ketika pernikahan menjadi kekuatan Asdina untuk terus menjalankan tugas sebagai suami sebaiknya. Malah ia juga yang menjadi sumber kekuatan.
"Syamimi ada short term memory, dia macam nyanyuk. Oleh itu, dia akan terus bertanya soalan yang sama, misalnya bila akan nampak semula.
"Tapi nak tak nak saya kena steady kerana dia isteri saya.
"Saya ada pegang satu benda iaitu lafaz taklik. Itu janji dengan ALLAH taala.
"Kita bukan berjanji dengan emak ayah atau adil-beradiknya, tetapi dengan ALLAH. Itu yang kita kena pegang," ujarnya.
Asdina berharap ada sinar untuknya melihat Syamimi yang mula dikenali sejak tahun 2017 pulih kembali dan mengingati setiap kenangan bersama.
"Saya mohon semua mendoakan isterinya saya, agar dia pulih seperti sebelum ini," ujarnya.
10 INFO TIBI
1-Berdasarkan statistik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kira-kira 10 juta kes tibi direkodkan dengan 1.5 juta mangsa terkorban.
2-Laman web rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan, tibi merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi di negara ini.
3- Tibi disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang mana merupakan sejenis bakteria aerob yang memerlukan oksigen untuk hidup.
4-Ia boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia individu malah bayi atau kanak-kanak juga merupakan golongan berisiko tinggi selain warga emas dan penghidap penyakit kronik.
5- Tibi atau juga dikenali sebagai batuk kering akan menunjukkan simptom sekiranya ia menjangkiti pesakit. Antaranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, badan mula menyusut dan juga batuk berdarah.
6-Tibi tidak hanya 'menyerang' paru-paru, malah boleh menjangkiti organ lain iaitu ekstrapulmonari tuberculosis seperti otak (tibi meningitis), tulang (tibi spine), kelenjar (tibi lymph node), usus (tibi gut) dan organ-organ lain.
7-Individu yang telah dijangkiti tibi juga akan turut mendapat jangkitan yang lebih berbahaya pada organ yang lain dan boleh mengundang maut pada bila-bila masa.
8- Jangkitan tibi boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu aktif dan terpendam.
9-Bagi tibi terpendam, selalunya individu ini memiliki tubuh yang sihat, namun terdedah kepada Mycobacterium tuberculosis yang disebarkan melalui batuk, bersin dan ketawa pesakit tibi.
10-Antara faktor yang boleh meningkatkan potensi tibi aktif jika ia dihidapi oleh pesakit kencing manis tidak terkawal, pesakit kanser, mereka yang dijangkiti kuman lain seperti HIV, hepatitis B dan C serta pesakit yang menjalani prosedur pemindahan organ. Tidak ketinggalan adalah kumpulan pekerja hospital dan ahli keluarga di rumah.
Sumber: Instagram, Sinar Harian