Ayat terakhir ayah sebelum masuk dewan bedah buat ramai menitiskan air mata. 'Abah mohon ampun & maaf'

Iklan

Kata-kata terakhir seorang ayah sebelum masuk dewan bedah undang sebak anak dan warganet. Pesanan penuh makna ini dikongsi di TikTok dan mengundang air mata ramai.

"KALAU abah ada salah dan silap, abah mohon ampun dan maaf. Tapi yang perlu kita ingat lailahaillallah muhammadarrasulullah, ia ada dalam diri setiap manusia."

Itulah ayat terakhir yang diucapkan seorang ayah kepada anak-anaknya sebelum dimasukkan ke bilik OT (Dewan Bedah) dan pergi untuk selama-selamanya.

Pesanan yang sempat dirakamkan itu dimuat naik dalam satu perkongsian di TikTok oleh anak Allahyarham, sekali gus mengundang sebak dalam kalangan warganet yang menonton video terbabit.

Menurut pemilik akaun Namera, dia sangat bersyukur diberikan kesempatan untuk menjaga ayahnya sehari suntuk meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak baik.

"Video dan suara kali terakhir saya dengar suara abah, ini malam sebelum abah masuk bilik OT anggaran pukul 9 lebih. Saya bersyukur sangat sebab dapat jaga abah dan bersemuka buat kali terakhir.

"Syukur sangat dapat merasa jaga abah buat kali terakhir, lap badan dia, tukarkan lampin pakai buang, letak Vicks dekat dada dan belakang badan, urut badan, kaki... semua dia minta masa itu. Badan abah panas, tapi doktor periksa tak demam.

"Saya ambil kain basah, letak di kepala dan badan dia, nampak dia selesa sebab dia tidur. Masa ini, saya betul-betul tak tahan sebab badan saya panas sangat. Saya dah demam dari 10 haribulan, tak surut-surut," tulisnya.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Disebabkan keadaannya yang tidak sihat, Mera memilih untuk pulang ke rumah. Namun, dia tidak dapat berehat secukupnya kerana rasa tidak sedap hati.

"Saya sampai rumah dalam pukul 12 lebih. Ingatkan saya nak tunggu abah keluar (dewan bedah), tapi masih belum keluar dan saya tak larat, jadi saya balik dalam pukul 11 lebih. Dah sampai rumah, selesai semua tapi masih tak boleh tidur sebab hati rasa tak sedap. Sakit dia kali ini rasa lain sangat.

"Dipendekkan cerita, waktu Subuh abah dah tak tahan sakit, mungkin kesan bius dah habis, sebab itu dia menahan sakit. Kemudian pakai oksigen.

"Dalam pukul 7 lebih, abah guna tiub. Adik beritahu abah akan ditolak ke ICU. Saya dengan adik bongsu terus pergi, sampai dalam pukul 9.15 pagi, abah belum ditolak ke ICU lagi," tambahnya lagi.



Berkongsi momen terakhir bersama ayahnya, ketika itu Mera sempat berbisik ke telinga ayahnya untuk meminta maaf atas segala-galanya.

Air mata ayah menitis dan bibirnya bergerak sebelum kedengaran bunyi mesin yang memberi petanda bahawa bapanya telah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Mei lalu.

Selain meluahkan rasa sebak, rata-rata warganet turut mendoakan Allahyarham Ahmada Mohamad ditempatkan dalam kalangan orang beriman.