‘Rezeki bukan duit je, tapi…’ Mimi Lana kongsi sisi sebagai isteri, akui tak semua hal perlu didedah

Iklan

WANITA tinggi lampai dengan aura classy itu bukan sekadar pelakon berbakat, malah punya cita rasa seni yang tajam dengan personaliti yang unik.

Dengan wajah ayu tapi hati ‘fighter’, pelakon Mimi Lana terus mengukuhkan tempatnya sebagai pelakon generasi baharu yang ada kelas tersendiri.

Iklan
Iklan

Melangkah tenang dalam fasa baharu kehidupan sebagai seorang isteri, Mimi tidak lokek berkongsi cerita mengenai alam rumah tangga yang baru dilayari kira-kira tiga bulan lalu.

Sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah manisnya itu, lagi-lagi apabila bercerita tentang momen sebagai isteri dan menantu.

Iklan

Bercerita tentang ikatan pernikahan yang termeterai pada 14 Februari lalu, si cantik manis itu mengakui dirinya cepat merajuk, manakala suaminya, pelakon Syafiq Kyle pula yang selalu memujuk.

"Sayalah yang selalu merajuk. Syafiqlah yang selalu pujuk. Perempuan kan... kena ada orang pujuk kita,” ungkapnya memulakan bicara bersama penulis.

Iklan

Memasuki usia 30 tahun, tatkala soal zuriat diajukan, tuan punya badan mengakui sedia menggalas tanggungjawab sebagai ibu pada bila-bila masa.

Bahkan, dedah Mimi, hampir setiap hari suami tersayang bercakap soal anak dan berkongsi idea nama yang bakal diberi kepada si comel kelak.

Kongsi Mimi lagi, sejak memegang status isteri, dia cuba memberikan yang terbaik termasuklah bab penyediaan air tangan sendiri untuk suami.

"Saya tak masak hari-hari. Hanya jika ada masa, saya akan masak. Syafiq suka makan di rumah. Sebab itu, kalau dia tak ada, saya pun tak ada mood sangat nak masak,” jelasnya lagi.

Lucunya, Mimi juga perasan ada sedikit perubahan fizikal pada suaminya selepas mereka berkahwin.

"Ramai tegur Syafiq nampak berisi sikit lepas kahwin. Tapi saya rasa itu normal. Kita pun tengah meneroka banyak benda baharu dalam hidup,” ungkap Mimi.

‘Mini honeymoon’

Pada masa sama, penulis sempat bertanyakan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi. Akui Mimi, mereka belum membuat sebarang persiapan kerana sibuk dengan pelbagai urusan kerja.

"Belum sempat fikir pasal raya haji. Tengok macam mana nanti. Saya bukan jenis yang rajin ke dapur. Namun bab makan, itu memang tak boleh tinggal.

"Setiap kali menjelang hari raya, saya pasti akan hubungi ibu terlebih dahulu untuk bertanya tentang persiapan.

"Selalu tanya ibu bila nak dekat raya. Yalah, ibu saya memang rajin masak waktu raya,” dedahnya lagi.

Ujar Mimi lagi, selepas kahwin, dia gemar menikmati masakan ibu mentuanya. Sementelah dia sudah kenal Syafiq hampir 10 tahun. Jadi, memang sudah anggap keluarga mentua seperti keluarga sendiri.

"Sebagai menantu, saya bersyukur dikurniakan ibu mentua yang sangat baik dan memahami. Ibu Syafiq lembut, cute sangat.

"Air tangan mak lain, tangan mak mentua pun lain... dua-dua sedap. Mungkin nanti saya pun akan belajar masak menu kegemaran Syafiq melalui mentua saya,” seloroh Mimi yang kini sedang dalam persiapan untuk filem terbaharunya berjudul Polong arahan Zulkarnain.

Kepada empunya diri turut ditanya tentang percutian mereka suami isteri ke Mesir yang dianggap sebagai ‘mini honeymoon’.

"Kalau diikutkan, belum berkesempatan untuk berbulan madu kerana sibuk dan jadual yang padat.

"Kebetulan kami ke sana (Mesir) atas urusan kerja, jadi kesempatan yang ada, kami gunakan sebaik mungkin untuk ‘mini honeymoon’.

"Kalau yang betul-betul bulan madu, rasanya kena tunggu jadual lapang sikit,” kongsi Mimi sambil tertawa kecil.

Mengulas tentang rezeki selepas berkahwin, Mimi percaya banyak perkara positif datang dalam hidupnya.

Terbaharu, dia dilantik sebagai duta kempen untuk koleksi terbaharu FILA iaitu Echappe VC V2.

"Rezeki bukan duit saja, tapi kesihatan, kawan-kawan baik dan kebahagiaan. Saya rasa sangat bersyukur.

"Misalnya koleksi FILA yang diketengahkan menerusi kempen ini cukup dekat di hati saya dan itu membuatkan saya sangat teruja dan berbesar hati ditawarkan sebagai duta.

"Pada saya, kasut ini menampilkan sisi lasak, tetapi masih mengekalkan elemen kelembutan dan sentuhan elegan. Semestinya ciri-ciri tersebut mencerminkan personaliti saya,” ujarnya.

Sebelum tirai perbualan dilabuhkan, sempat penulis meminta pandangan Mimi mengenai segelintir selebriti yang suka menjaja kisah peribadi di media sosial.

Enggan mengaitkan dengan mana-mana pihak, Mimi sebaliknya memilih untuk berkongsi sekadar perlu sahaja.

"Kita kongsi apa yang patut saja. Kalau rasa benda tu istimewa, kita simpan. Ini kerana, tak semua orang faham apa yang kita rasa,” ulasnya ringkas.