BILA bekerja bukan main penat tetapi hak tidak dibayar, memang boleh naik angin. Baru-baru ini, kecoh kembali di media sosial tentang satu rangkaian klinik swasta yang dikenali didakwa tidak membayar gaji pekerja mengikut peraturan yang ditetapkan.
Lebih mengejutkan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipotong setiap bulan daripada gaji pekerja namun tidak dimasukkan ke dalam akaun mereka.
Pendedahan tentang culas membayar gaji ini viral sejak tahun lepas lagi. Kini, ia menjadi kes 'panas' semula apabila seorang bekas pekerja klinik terbabit yang dikenali sebagai Siti Nadia Hasnan yang ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif mula dikongsi oleh orang ramai.
Dia yang sebelum itu berkhidmat sebagai doktor residen di klinik berkenaan sejak September 2022 hingga September 2023 merasa teraniaya apabila bekas majikan tidak mengambil berat tentang kebajikan pekerja.
"Saya menerima gaji seperti biasa, cuma ada bulan-bulan tertentu gaji dibayar lewat. Tidak seperti apa yang dipersetujui dalam kontrak kerja. Bukan hanya KWSP, masalah potongan PERKESO juga tidak dimasukkan ke akaun peribadi.
"Saya telah membuat aduan kepada PERKESO. Alhamdulillah, jumlah tertunggak telah dimasukkan ke akaun saya. Manakala untuk KWSP pula, walaupun aduan telah dibuat, hanya sebahagian jumlah tertunggak baharu dimasukkan ke akaun saya sehingga kini” katanya melalui temu bual bersama SinarPlus.
Kes yang sama juga berlaku kepada cukai pendapatan pekerja, yang mana amaun cukai telah ditolak daripada jumlah gaji tetapi tidak dibayar kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini menyebabkan wanita itu terpaksa memperuntukkan sebahagian wang lain untuk melangsaikan hutang cukai pendapatan tersebut.
Disebabkan haknya dipermainkan, Siti Nadia mengambil langkah memberikan notis penamatan perkhidmatan secara konstruktif (constructive dismissal) kepada bekas majikan.
"Terdapat tujuh pecah mungkir yang telah dilakukan oleh pihak majikan terhadap saya yang akhirnya membawa kepada penamatan perkhidmatan saya secara konstruktif. Ada juga pekerja lain yang melakukan tindakan sama.
"Walau bagaimanapun, siapalah kami untuk membuat keputusan ‘tindakan’ apa yang perlu dikenakan terhadap bekas majikan. Kami telah membuat pelbagai laporan serta aduan kepada mereka yang berwajib, termasuk membawa isu ini ke Mahkamah Perusahaan demi keadilan kepada kami pekerja-pekerja yang teraniaya,” ujarnya lagi.
Sehingga ke saat ini, tiada khabar berita daripada pihak bekas majikan dan mereka masih belum membayar apa-apa amaun seperti dalam tuntutan. Ketika bekas-bekas pekerja bergelut mahu membayar hutang dan bertahan dalam hidup, video banglo yang telah siap dibina yang dimuat naik oleh pemilik syarikat rekaan dalaman menjadi kecaman.
Rumah yang dikatakan milik Datuk Seri dan Datin Seri di Bukit Jelutong itu kelihatan mewah siap dengan kolam renang. Ramai pekerja klinik meninggalkan komen negatif buat pemilik banglo berkenaan.
Adakah disebabkan mereka yang teraniaya ini hanyalah rakyat marhaen yang suara mereka tidak akan didengari? Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan buat bekas majikannya.
"Saya mewakili bekas-bekas pekerja ingin memohon agar pihak Datuk Seri mematuhi perintah mahkamah seperti yang dinyatakan di dalam award. Begitu juga jika ada apa-apa bayaran kami yang masih tertunggak daripada pihak Datuk Seri, saya mohon untuk dilunaskan semuanya sekali.
"Walau bagaimanapun, andai Datuk Seri ingin berbincang lanjut mengenai hal ini, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Boleh kiranya hubungi saya pada bila-bila masa,” katanya dengan penuh pengharapan agar kes ini dapat diselesaikan dengan cara baik.