ZAMAN moden masa kini tidak memerlukan orang ramai untuk sentiasa ada wang tunai dalam dompet.
Cukup sekadar ada internet bagi memudahkan urusan pembayaran atas talian menggunakan perbankan dalam talian atau kod QR.
Namun, dalam kesenangan kemajuan teknologi yang canggih ini, masih ada yang mengambil kesempatan untuk menipu berhubung pembayaran terhadap perkhidmatan yang diterima.
Misalnya seperti perkongsian seorang wanita di TikTok yang mendengar luahan seorang pemandu teksi yang kecewa kerana sering ditipu oleh pelajar universiti yang tidak membayar tambang teksi yang dinaiki.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Dila, mereka menipu dengan cara berpura-pura mengimbas kod QR tetapi langsung tidak membuat sebarang pembayaran.
"Saya malas sangat nak tempah dan tunggu Grab, jadi saya naik teksi dari stesen LRT ke rumah. Kesian kat Uncle teksi tu, dia bercerita pasal selalu kena tipu dengan pelajar universiti, buat-buat imbas kod QR tapi sebenarnya tak bayar pun.
"Uncle cakap dia tak kisah pun kalau orang tu jujur je cakap tak ada duit nak bayar tambang. Bukan banyak pun Uncle boleh dapat, dengan adanya macam-macam perkhidmatan lain sekarang ni.
"Uncle nampak kecewa sangat, sebab dia pelik macam mana orang yang belajar tinggi-tinggi boleh tergamak nak tipu orang. Sedih betul, sebab kita tahu orang tua cari rezeki pun cukup-cukup makan je, kau boleh pula tipu dia. Kakak pang, kang!" tulis wanita berkenaan di perkongsiannya.

