'Selepas tak nampak, ALLAH bagi mata hati...' 38 tahun buta, Zawiah tidak pernah tatap wajah anak. Terharu dijemput ALLAH tunai haji

Iklan

ALLAH menjemput siapa sahaja yang dikehendaki ke Tanah Suci. Ternyata kesempurnaan bukan syarat dalam kalangan hamba-NYA untuk menjadi Duyufurrahman.

Jemaah haji cacat penglihatan, Zawiah Mohamad, 62, menzahirkan rasa syukur dipilih menjadi tetamu ALLAH biarpun tidak lagi dapat melihat Kaabah secara fizikal.

Iklan
Iklan

Ditemani suami dan dua cahaya mata perempuannya, pesara guru itu terharu menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima.

Lebih menyentuh hati, ibu kepada empat orang anak itu reda walaupun tidak dapat melihat Kaabah secara fizikal.

Iklan

Pernah ke Tanah Suci menunaikan umrah pada tahun 2016 bersama suami dan anak, gambaran Kaabah yang pernah dilihat sebelum ini kekal terpahat di hati.

"Sebelum buta, mak cik pernah lihat Kaabah dalam gambar namun masa tunaikan umrah, mak cik dah tak boleh melihat kerana disahkan buta sejak berusia 24 tahun.

Iklan

"Mak cik tak pernah menyalahkan takdir, malah terus bersyukur kerana masih diberi nyawa hingga ke hari ini,” katanya.

Dilahirkan normal dan boleh melihat hilang deria melihat itu menghidap penyakit glaukoma, wanita tabah itu sempat mengimbas semula detik kehilangan penglihatan asbab glaukoma 38 tahun lalu.

Disahkan menghidap penyakit glaukoma sejak zaman persekolahan, keadaan Zawiah menjadi makin teruk apabila beliau mengandungkan anak sulung.

"Masa tu saya alami alahan teruk. Pening, demam, tak boleh bangun malah nak celik mata pun rasa pedih macam dicucuk jarum.

"Bila dapat buka mata rasa sakit sudah tiada tetapi semua nampak gelap. Tangan sendiri pun dah tak nampak,” katanya.

Menurut Zawiah, doktor yang merawat memaklumkan wanita itu menghadapi simptom akhir glaukoma.

"Bila dapat buka mata rasa sakit sudah tiada, semua nampak gelap.

"(Kini) tangan sendiri pun dah tak nampak,” katanya.

"Penyakit glaukoma ni, kalau kena zaman sekarang okay. Macam kanser juga, ada ubat. Tapi mak cik kena zaman dulu, tiada ubat yang betul-betul spesifik lagi.

"Apapun mak cik bersyukur selepas tak nampak, mak cik rasakan ALLAH bagi mata hati yang lebih bagus daripada masa dapat melihat dulu,” katanya.

Biarpun tanpa penglihatan, ibu penyayang tersebut tetap dapat membesarkan empat cahaya matanya tanpa kekurangan.

Malah, beliau mengakui tidak pernah menatap wajah-wajah permata hati kesayangannya sejak lahir.

Kini, hampir empat dekad hilang nikmat penglihatan, nenek kepada enam cucu itu sempat berkongsi antara doanya di Tanah Suci supaya dapat melihat semula.

"Kalau baik untuk mak cik dapat semula penglihatan, mak cik mohon. Tapi kalau lebih baik untuk dalam keadaan begini, mak cik reda,” katanya.

Tahu isteri glaukoma sebelum kahwin

Kesetiaan suami Zawiah, Mohd Isa Yakob, 62, menjadi inspirasi. Menjadi pasangan buat wanita hilang deria penglihatan sepanjang perkahwinan dan mengetahui lebih awal wanita itu diuji dengan kesihatan sebelum berkahwin, lelaki itu tidak pernah terlintas untuk pergi.

"Kami sudah 38 tahun berkahwin. Masa saya tahu isteri ada glaukoma, saya reda. Bagi saya, isteri adalah amanah. Kita kena jaga,” katanya.

Bekas juruteknik berasal dari Perak itu berkata, kekuatan sebenar rumah tangga mereka terletak pada ketegasan dan peranan besar yang dimainkan Zawiah dalam membesarkan anak-anak.

"Saya kerja, dia jaga rumah dan anak-anak. Dia kawal semua. Jadi, saya pergi kerja pun hati tenang,” katanya.

‘Saya cuma nak jadi anak yang terbaik’

Cahaya mata kedua Zawiah dan Mohd Isa yang juga pengiring si ibu, Nor Salehah, 36, berkata dia sudah biasa menemani ibunya ke mana sahaja.

"Sejak kecil memang saya dengan mak. Bila dapat kerja di Selangor pun saya mohon tukar balik ke Terengganu sebab mak,” katanya.

Nor Salehah turut mengakui pernah berdoa agar ALLAH memulangkan semula penglihatan ibunya, namun akhirnya reda dengan ketentuan.

"Saya cuma nak jadi anak yang terbaik. Masa di Masjidil Haram, saya pesan satu je pada mak, Mak, pegang saja tangan saya. Jangan lepas.

"Saya harap ALLAH beri kekuatan kepada saya untuk bawa mak sempurnakan haji,” katanya.

Untuk rekod, bagi musim haji ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, setakat ini seramai 25,331 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah.

Sumber: Sinar Harian (Nur Farhana Abdul Manan)