JANUARI lalu kita dikejutkan dengan berita bayi empat bulan maut di taska. Belum tenang dengan kisah sedih itu, berlaku lagi kejadian yang sama melibatkan bayi berusia tujuh bulan di Taman Danau Kota, Kuala Lumpur tiga hari lalu.
Mangsa, Muammar Adli dikatakan tidak sedarkan diri kurang sejam selepas dihantar ke taska oleh ibunya, Nur Farihah Meor Mazli.
Sebaik sahaja menerima panggilan dari pihak taska, wanita itu segera ke lokasi kejadian. Dalam usaha menyelamatkan anaknya, Nur Farihah cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) dengan harapan Muammar dapat diselamatkan.
Sebelum itu, guru di taska terbabit telah memanggil penyelia dan mereka juga melakukan CPR, namun bayi tersebut tidak menunjukkan sebarang respons.
Bapa bayi berkenaan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada jam 1.26 tengah hari. Hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian adalah akibat sesak nafas disebabkan tersedak makanan dan susu.


Taska tersebut didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mempunyai kapasiti penjagaan untuk 51 orang kanak-kanak.
Semasa siasatan, terdapat 36 kanak-kanak di premis tersebut. Susulan kejadian, JKM telah mengarahkan taska berkenaan untuk menghentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
Mengulas lanjut mengenai kes ini, Penguambela dan Peguamcara, Nor Zabetha Muhamad Nor meluahkan rasa terkilan kerana perkara sebegini kerap kali berlaku.
Bagaimana penjaga boleh begitu cuai? Sepatutnya, kes seperti ini dijadikan pengajaran oleh pengendali taska. Perbetulkan sistem pengurusan dan pengendalian.
"Firma kami sekarang sedang mengendalikan kes saman kecuaian sehingga mengakibatkan kematian bayi tiga bulan akibat kecuaian taska.
"Apabila disiasat, pada hari kejadian hanya ada dua orang pengasuh/penjaga taska menjaga 19 orang dari usia bayi sehingga ke kanak-kanak.
"Bagaimana 19 orang dijaga oleh hanya dua orang dewasa? Saya bayangkan penjaga ini, hanya fokus selesaikan tugas sahaja. Asalkan kerja siap. Dibiarkan bayi dan kanak-kanak ini tanpa pengawasan” ujarnya melalui perkongsian peribadi di Facebook miliknya.
Tambahnya lagi, ibu bapa bertambah terkilan apabila tiada permohonan maaf dari pemilik taska atau penjaga. Tidak bersemuka menyatakan penyesalan. Sepertinya nyawa anak mereka tidak berharga.
Walaupun pengasuh tidak mendera anak-anak tetapi isu pengabaian adalah sangat serius dan itu boleh mengundang maut.
"Banyak kes yang kami kendalikan, bayi digigit dengan anak-anak asuhan lain. Kanak-kanak lebam dan cedera. Ada yang mahu bergurau maka ditolak rakan lain dari tangga hingga cedera teruk.
"Apabila tiada rasa tanggungjawab, dibiarkan bayi seorang diri dan diasingkan dalam bilik. Entah terlingkup badannya atau diletakkan botol susu berlapikkan bantal kerana pengasuh sibuk menguruskan hal lain. Dibiarkan pula bayi dalam buaian tanpa pengawasan.
"Adakah mereka sedar yang mereka abaikan itu adalah anak orang bukan anak kucing, seawal usia sebulan sudah boleh berjalan sendiri dan mencari makan. Kenapalah tiada rasa empati dan simpati? Kenapa tidak dijaga seperti anak sendiri?” kongsinya lagi.
Selaku individu yang memainkan peranan penting dalam sistem perundangan, Nor Zabetha mengharapkan agar tindakan lebih tegas diperuntukkan apabila melibatkan kes kematian atau kecederaan di taska.
Nyawa anak orang, jangan diambil sambil lewa.