Amber, jenama yang cukup dikenali dengan sentuhan mewah dan kontemporari, kini kembali mencuri tumpuan dengan koleksi terbaharu mereka yang dinamakan Amber Oasis Abaya.
Koleksi edisi terhad ini membawa pendekatan avant-garde yang cukup unik, namun tetap memelihara nilai warisan Islam yang menjadi akar gaya hidup wanita Muslimah. Ia dicipta khusus untuk wanita berjiwa seni dan bergaya tinggi, mereka yang tidak hanya ingin tampil cantik, tetapi juga penuh makna dan ekspresi diri.
Koleksi ini bukan sekadar barisan pakaian biasa. Ia merupakan penanda aras bahawa jenama itu mahu memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju fesyen Muslimah berkelas tinggi di Malaysia. Setiap helaian dalam koleksi ini bukan sahaja menawarkan gaya eksklusif, malah membentuk identiti wanita yang yakin dan tahu nilai dirinya.


Menambah tarikan, pelancaran koleksi tersebut diserikan dengan kehadiran figura wanita popular tanah air sebagai duta rasmi iaitu Nora Danish, Amyra Rosli. Seorang lagi yang terpilih sebagai wajah kempen koleksi tersebut ialah, Amira Othman. Nama-nama selebriti berkenaan sudah tidak asing dalam dunia hiburan tempatan, namun apa yang lebih menarik, mereka dipilih bukan sekadar kerana populariti.
Masing-masing melambangkan gaya hidup Muslimah moden, yakni jelita, elegan dan berprinsip. Ini selari dengan nilai yang diperjuangkan oleh label itu sendiri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Hasan, Amber Oasis Abaya adalah lebih daripada sekadar pakaian. Ia merupakan manifestasi seni, keanggunan dan keyakinan wanita Muslimah hari ini.
"Amber bukan hanya jenama pakaian, sebaliknya ia membawa makna lebih besar, menjadi simbol kepada wanita yang mahu tampil bergaya tanpa mengorbankan nilai dan keselesaan.
"Pelancaran koleksi ini, katanya, adalah sebahagian daripada komitmen jenama dalam menawarkan fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan," ujarnya.
Kolaborasi bersama tiga selebriti ini juga bukan sekadar gimik pemasaran. Ia merupakan strategi untuk membawa Amber lebih dekat dengan hati pengguna, terutamanya mereka yang mengidolakan ketiga-tiga selebriti berkenaan sebagai ikon wanita hebat yang kekal dengan prinsip walau berada dalam dunia serba moden. Setiap seorang daripada mereka dipadankan dengan rekaan yang menggambarkan personaliti tersendiri
Dalam majlis tersebut, Amber menampilkan empat rekaan utama iaitu Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara. Keempat-empat rekaan dihasilkan dengan teliti untuk memenuhi cita rasa wanita moden yang pelbagai.
Bagi memastikan eksklusiviti koleksi ini, hanya 500 unit dihasilkan bagi setiap rekaan. Selain itu, setiap pembelian disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor dan e-pas jemputan ke majlis pratonton eksklusif sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada September 2025. Ia bukan hanya pembelian pakaian, tetapi pengalaman premium yang ditawarkan kepada pelanggan Amber.