Jiran naik angin, tak tahan dengar bunyi lesung batu. Tuan rumah sindir balik. ‘Kalau tak suka, duduk banglo!...'

Iklan

SELAIN berjumpa secara bersemuka, menampal surat terbuka di kawasan awam seperti di papan notis sering menjadi ‘jalan terakhir’ bagi sesetengah individu untuk meluahkan rasa tidak puas hati.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, tular di media sosial dua keping surat yang ditampal oleh penghuni sebuah pangsapuri memperlihatkan 'perang dingin' antara dua jiran satu blok.

Menerusi perkongsian itu, surat pertama dipercayai ditulis daripada seorang penghuni tingkat bawah.

Iklan

Dia meluahkan rasa bengang apabila sering diganggu dengan bunyi hentakan kuat dari unit atas kediamannya. Katanya, suara ‘dentuman’ itu dipercayai disebabkan jirannya sedang rancak menumbuk cili menggunakan lesung batu.

Malah, individu terbabit turut mempersoalkan mengapa masih menggunakan kaedah tradisional sedangkan teknologi moden seperti pengisar sudah wujud dan boleh didapati dengan harga yang murah.

Iklan

"Awak yang selalu tumbuk cili guna lesung batu, ada fikir tak jiran atas atau bawah rumah?

"Tolong jangan pentingkan diri sendiri, pengisar murahlah kat beg oren," tulisnya.

Namun, kisah berkenaan tidak terhenti di situ.

Penghuni yang dimaksudkan kemudiannya tampil dengan surat balas yang juga ditampal di lif yang sama. Dalam nada yang cukup tegas tetapi sinis, dia menyatakan bahawa hidup berjiran memerlukan sikap toleransi.

"Kalau tak boleh duduk berjiran, rasanya dah boleh pindah ke rumah banglo sebab tiada jiran atas bawah.

"Tapi sekejap, tak mampu kan!" balasnya sinis.

Bagaimanapun, surat terbuka itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat apabila rata-rata netizen menganggap setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Tidak kurang juga warga maya tampil memberi cadangan agar lesung batu dialas dengan kain terlebih dahulu bagi mengurangkan bunyi hentakan selain dapat mengelakkan keretakan pada lantai rumah.