"ESOK majlis akad nikah saya, tidak sangka bertukar menjadi majlis tahlil."
Impian melihat orang tersayang bersama di hari bahagia musnah. Luahan Mohd Syafiq Abdul Rahim, 24, adik kepada salah seorang mangsa kemalangan maut di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai mengundang sebak.
Kemalangan tragis berkenaan meragut nyawa kakak Mohd Syafiq iaitu Nurul Ain Abdul Rahim, 39, anak tunggalnya, Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, dan menantu Mohamad Faris Kamaludin, 24.
Dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor sambil membawa barangan hantaran perkahwinan, ketiga-tiganya maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres kira-kira jam 11.20 pagi semalam.
Mohd Syafiq yang dijadual berlangsung di Besut, Terengganu pada Sabtu, dan majlis menyambut menantu pada Ahad di Kampung Kayu Rendang, Melor, kini berlangsung dalam kedukaan.
Menurut ibu, Hasmah Awang, 60, majlis pernikahan Mohd Syafiq diteruskan pada hari ini, namun hanya ditemani adik bongsu dan rakan, sementara keluarga lain menguruskan jenazah
Hasmah berkata beliau terus memberi semangat kepada Muhd Syafiq untuk meneruskan perkahwinan di Besut, Terengganu, walaupun pergi dengan jiwa yang penuh kesedihan apabila kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus dalam kemalangan berkenaan.
Difahamkan, beliau dan suami, Abdul Rahim Mat Diah, 71, tidak menemani Muhd Syafiq sebaliknya bersedia di rumah menanti kepulangan jenazah anak sulong selepas selesai urusan bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai
'SELALU LALU LPT, TIBA-TIBA PILIH GUA MUSANG'
Mohd Syafiq terdahulu sempat berkongsi kebiasaan keluarga Nurul Ain menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur. Namun kali ini mereka memilih jalan Gua Musang atas cadangan aplikasi navigasi Waze.
"Rupa-rupanya petanda saya akan kehilangan kakak serta anak-anak saudara,” katanya sebak.
Keluarga difahamkan hanya mendapat tahu kejadian lewat petang selepas melihat laporan media sosial dan mengesahkan kenderaan mangsa ialah sebuah Perodua Myvi biru yang terlibat dalam nahas tersebut.
Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Kampung Kayu Rendang selepas proses bedah siasat selesai.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat memaklumkan, siasatan awal mendapati kereta mangsa cuba memotong kenderaan lain namun tidak sempat, lalu bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu dan dua penumpang kereta maut di tempat kejadian akibat tersepit.
"Pemandu bas berumur 43 tahun hanya cedera ringan terkena serpihan cermin, manakala semua penumpang bas selamat,” katanya.
Kejadian tragis ini sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya tentang risiko melalui laluan berselekoh dan sempit terutama di kawasan berbukit seperti laluan Gua Musang-Kota Bharu.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin), Harian Metro