JIKA dilihat dari luar, ramai sangka hidup Hasmah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Maamy, cukup sempurna.
Bisnes makin maju, jenama Maamy Mineral Essence (MME) dikenali, dan penampilannya sentiasa ceria dalam sesi live di TikTok. Tapi siapa sangka, sebelum semuanya jadi indah, hidup Maamy pernah gelap gelita."Hidup ini keras, keras sangat... sampai saya sendiri tak sangka saya masih hidup hari ni. Kalau bukan sebab anak-anak, rasanya dah lama saya pergi,” luahnya perlahan, mengenang kembali titik paling perit dalam hidupnya.
Bergelar ibu tunggal kepada lima anak bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila kejatuhan rumah tangga berlaku pada waktu dia langsung tiada pegangan, tak ada pekerjaan, tak ada harta, dan tiada pelajaran tinggi untuk bersaing dalam dunia luar.
"Saya tak ada apa masa tu. Sekolah pun tak habis. Harap bekas suami saja, tapi bila semuanya jatuh, saya terduduk... kosong. Tapi sebab anak-anak, saya paksa diri bangkit. Saya janji dengan diri, saya kena jadi ayah dan emak sekaligus,” ceritanya.
Dalam keadaan serba kekurangan, Maamy mulakan perniagaan kecil-kecilan. Dia tahan telinga dengar kata orang, walaupun dihina, difitnah, dipandang rendah.
Tapi semua itu dia telan demi masa depan anak-anak.
"Bila kita tak ada apa-apa, jangan harap orang akan tolong. Adik-beradik pun belum tentu ada. Kawan-kawan ramai masa senang je,” katanya jujur.
Kini, selepas 16 tahun berusaha tanpa henti, Maamy bukan sahaja berjaya membina empayar sendiri, malah menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita di luar sana.
Saban hari, ratusan penonton mengikuti sesi live TikTok-nya bukan sekadar untuk beli produk, tapi lebih kepada mendengar semangat dan motivasi yang tak pernah putus dia kongsikan.
"Apa saja kita buat, buatlah dengan ikhlas. Jangan pura-pura baik sebab nak nampak cantik depan orang. ALLAH tahu isi hati kita. Kalau betul niat kita, insya-Allah, Dia akan buka jalan,” katanya penuh yakin.
Ada ketika, dia juga mengakui pernah rasa hilang semangat. Tapi dia cepat-cepat ingatkan diri, hidup kena teruskan.
"Saya pernah cakap dengan anak-anak, tak payah sekolah tinggi-tinggi, cukup jadi suri rumah. Tapi bila saya sendiri rasa susahnya hidup tak ada ilmu, saya terus ubah fikiran.
"Sekarang, saya selalu pesan, cari ilmu, sebab ilmu ni yang akan selamatkan kita bila semua orang tinggalkan kita,” ujarnya.
Maamy juga tak lokek berkongsi nasihat buat wanita yang sedang bergelut dengan ujian hidup.
Katanya,"Perempuan ni kuat sebenarnya. Tapi kalau asyik simpan sedih, lama-lama kita lemah sendiri."Saya selalu cakap, kalau dah jatuh, tak payah tunggu orang datang angkat. Kita bangkit sendiri. Lambat sikit pun tak apa, asalkan bangun.” ujarnya. Kejayaan yang diraihnya hari ini juga tak terlepas daripada keberkatan dan prinsip hidup yang dia pegang erat.
Solat lima waktu, sedekah bila mampu, dan jangan tinggal doa. Itu asas yang menjadi tunjang kehidupannya.
"Kalau ada rezeki lebih, sedekah. Jangan berkira. Kita tak tahu doa siapa yang ALLAH angkat sebab kita tolong orang lain.
"Kadang-kadang, rezeki yang datang tu tak terjangkau dek akal. Saya sendiri tak pernah sangka boleh sampai tahap ni,” katanya.
Produk MME yang dibangunkan hasil penat lelahnya sejak 16 tahun lalu kini menjadi pilihan ramai.
"Ini anugerah ALLLAH... bukan saya hebat, tapi rezeki yang DIA beri,” jelas Maamy lagi.