JARANG terlihat Nora Danish di set penggambaran, begitu juga wajahnya di kaca televisyen yang suatu ketika dahulu begitu sinonim dengan dunia lakonan tempatan.
Kini, pelakon kesayangan ramai itu melangkah tenang dengan satu keputusan besar, berhijrah demi mencari makna kehidupan yang lebih hakiki.
Sejak memilih untuk berhijab, Nora bukan hanya berubah dari segi penampilan, malah cara berfikir, arah hidup dan keutamaannya juga jauh berbeza.
Daripada mengejar skrip dan sorotan kamera, Nora kini lebih selesa dengan kesederhanaan, bisnes yang fleksibel dan peranan utamanya sebagai ibu.
Dalam diam, transformasi wanita ini membuka mata ramai bahawa populariti bukan segala-segalanya, yang kekal adalah ketenangan jiwa dan keberkatan hidup.
Justeru, peminatnya hanya mampu 'mengintip' ruang media sosial miliknya jika mahu mengikuti perkembangan artis pujaan mereka itu.
Menerusi satu sesi temu bual bersama SinarPlus, bekas pengacara Meletup 2018 itu mengakui memilih untuk melalui fasa kehidupan yang lebih tenang dan matang.
Bahkan, tuan punya badan mengakui, enggan lagi terlalu ligat mengejar tawaran atau turun ke set penggambaran seperti dahulu.
"Saya rasa ini langkah saya untuk kurang aktif dalam dunia lakonan. Sudah tak mampu nak beri komitmen dari segi masa. Berilah peluang kepada pelakon baharu pula.
"Saya bukan terus ‘angkat kaki’ dari dunia seni. Cuma kali ini lebih realistik dengan kemampuan diri, memandangkan tak ada kudrat dah nak shooting lama-lama. Biarlah generasi pelapis yang berbakat mengisi ruang lakonan,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang pasti, Nora kini lebih memberi perhatian kepada bisnes dan kempen-kempen komersial yang tidak menuntut masa terlalu panjang.
Nora berkongsi cerita bersama penulis ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi abaya Amber yang turut menampilkan Amyra Rosli dan Amira Othman sebagai wajah kempen terbaharu jenama tersebut.
Mangsa penipuan
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Puteri itu mendedahkan impiannya yang tidak kesampaian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tahun ini bagi menunaikan haji.
"Saya dah bersedia, cuma panggilan menjadi tetamu-NYA belum sampai. Mungkin ALLAH belum izinkan lagi. Siapa tahu kan, mungkin masa itu dapat mengerjakan haji bersama suami baharu?,” katanya berseloroh yang mengakui tidak menutup pintu hati untuk berkahwin lagi.
Berkongsi lanjut, Nora mendedahkan pernah menerima tawaran untuk mengerjakan ibadah suci itu, tetapi tidak menjadi kenyataan. Malah, dia juga menjadi mangsa penipu dalam talian.
Pun begitu, dia tidak menyalahkan takdir. Sebaliknya, pemilik nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif melihat semua itu sebagai ujian dan ruang untuk muhasabah diri.
Menyentuh mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, anak jati Setiu, Terengganu itu bakal melakukan ibadah korban untuk tahun ini.
Empunya diri turut diajukan mengenai khabar angin yang bertebaran baru-baru ini kononnya dia akan kembali ke pangkuan bekas suaminya, Nedim Nazri.
Pasangan tersebut sah bercerai pada Jun tahun lalu selepas tujuh tahun bersama.
"Saya dan Nedim tak boleh hidup sebagai suami isteri, tapi kami masih jaga ukhuwah sebagai ibu dan ayah kepada Neyqal,” jelas Nora yang kini berusia 43 tahun.
"Untuk hidup di dunia ini, kita mesti nak berpasangan. Tapi untuk kembali dengan Nedim, rasanya tak.
"Cuma, dia faham saya, saya pun faham dia. Kalau ada apa-apa masalah, kami masih boleh berbincang elok. Dia ibarat 'soulmate' saya," ungkap Nora jujur.
Bercakap pasal anak, walaupun sibuk dengan kehidupan peribadi dan kerjaya, dia tetap utamakan dua cahaya matanya.
Anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram hasil perkahwinan terdahulu bersama Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai kini berusia 16 tahun.
"Orang kata susah nak uruskan anak remaja. Betul tu. Saya memang risau. Tapi sebagai ibu, saya serah semuanya pada ALLAH. Banyakkan doa dan minta perlindungan untuk anak-anak,” katanya.
Kongsi Nora lagi, hidupnya kini sudah berubah, namun tidak bermakna anak-anaknya perlu berubah secara drastik.
"Semuanya perlukan masa. Saya percaya, konsistensi dalam kasih sayang dan doa boleh bantu anak-anak faham situasi tanpa rasa tertekan," ujarnya penuh makna.