KEHILANGAN anak tersayang dalam kemalangan ngeri bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak menancapkan luka di hati ibu ini.
Ibu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, yang terkorban dalam perjalanan ke hospital selepas terlibat dalam tragedi itu sebak mengenang jenazah anaknya sempurna dan seolah-olah sedang tidur.
Ruslinan Abd Razak, 55, dalam temu ramah bersama Sinar Harian berkongsi momen pilu bersama Muhammad Adib buat kali terakhir ketika menghantar anak keenamnya itu menaiki bas di Jerteh Ahad lalu.
"Saat akhir itu dia sempat memberikan kata-kata khusus kepada saya sempena hari lahir saya pada Sabtu lalu, supaya saya terus kuat menerusi WhatsApp. 'Istimewa untuk ibu terus kuat'. Ia dihantar pada hari raya (Aidiladha) iaitu hari Sabtu.


"Saya tanya kenapa abang kata-kata begini, dia kata Umi bacalah. Saya tidak perasan, rupanya itu petanda dia mahu pergi selamanya," kongsi Ruslinan.
Dalam sebak, beliau juga berkongsi situasi luar biasa dilakukan Muhammad Adib seolah-olah tahu akan pergi buat selama-lamanya.
"Ketika menghantar menaiki bas, dia terlebih dahulu menghantar barang ke dalam bas dan kemudian turun semula untuk peluk cium saya dan bapanya.
"Allahyarham sempat berkata' Umi maaflah ya, maafkan abang.'
"Selepas dia menghantar barang ke dalam bas dia turun lagi dan bersalam dengan saya sekali lagi dan memohon maaf.
"Saya katakan kenapa turun lagi, dia kata sengaja berbuat begitu kerana bas belum bergerak. Saya ingin memberikannya duit tetapi Adib menolak mengatakan duit masih ada," kongsinya.
Ruslinan sempat berkongsi keadaan jenazah Muhammad Adib hanya mengalami sedikit calar pada bahagian muka. Malah jenazah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu disifatkan berada dalam keadaan sempurna dan seolah-olah sedang tidur.
Dalam pada itu, Ruslinan juga berkongsi kebiasaan Allahyarham yang gemar membaca dua surah al-Quran selepas menunaikan solat.
"Alhamdulillah, urusan pengebumian juga dipermudahkan. Arwah memang seorang anak yang baik, peramah, rajin mengaji dan sangat menghormati orang tua.
"Setiap malam lepas solat Maghrib dia baca Surah Yasin dan al-Mulk, tidak pernah tinggal," jelasnya.
Jenazah Muhammad Adib Hazim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak pada malam Isnin dan merupakan antara mangsa terawal dibawa pulang ke Terengganu dari Hospital Gerik bagi urusan pengebumian.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu yang membawa 44 adalah penumpang dalam bas merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.
15 bakal pendidik meninggal dunia manakala 27 lagi yang lain tercedera dalam perjalanan untuk menuntut ilmu.
Manakala empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza mengalami patah tulang rusuk, patah tulang pada lutut dan tercampak keluar dari kenderaan.
Takziah buat keluarga mangsa yang terlibat.
Sumber: Sinar Harian, Bernama