TRAGEDI ketika menemani suami memancing meragut nyawa Sakirah Akob, 31. Tiada siapa menduga keriangan melakukan aktiviti rekreasi di Jalan Pasar Ayam-Bandar Baru Bera, Pahang itu berakhir dengan titik hitam.
Suri rumah itu yang dihanyutkan arus deras di Sungai Triang sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan pagi ini.
Mayat Sakirah ditemukan dalam keadaan terapung tertiarap oleh orang awam berhampiran sungai pada jam 8.12 pagi.
Namun dengan takdir ALLAH dan betapa kasihnya seorang ibu, Allahyarham Sakirah sempat menyerahkan permata hatinya, Aleesyah Humairah yang berusia 16 bulan kepada suami, Abdul Wahid Randa sebelum hanyut bersama kereta.
Berikut kronologi kejadian yang menyayat hati:
1-Maklumat awal yang diterima pihak bomba memaklumkan Sakirah berada di lokasi bagi menemani suaminya yang sedang memancing di tebing sungai.
2-Kereta yang dinaiki Sakirah dan anak berada dalam kereta jenis Perodua Bezza kira-kira lapan meter dari lokasi Abdul Wahid memancing.
3-Kereta berkenaan secara tiba-tiba bergerak ke hadapan dan terjatuh ke dalam sungai, namun Abdul Wahid sempat menyelamatkan anak mereka yang berada dalam kereta.
4-Ketika ingin menyelamatkan Sakirah, anak mereka turun ke bawah menyebabkan Abdul Wahid terpaksa berpatah kembali.
5-Apabila berada di darat, lelaki itu melihat Sakirah yang sudah keluar daripada kereta sudah hilang dipercayai dibawa arus manakala kenderaan itu tenggelam.
6-Sakirah dikatakan gagal keluar daripada kenderaan itu dan terus dihanyutkan arus deras.
7-Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan jarak pencarian dijalankan oleh sepasukan 11 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin. Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba Bukit Angin Temerloh turut membantu melakukan selaman di lokasi kejadian pada kedalaman kira-kira enam meter.
8-Selain bomba, sepasukan anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
9-Pada 10 Jun (Selasa), Perodua Bezza yang terjatuh ke dalam sungai ditarik keluar dari dasar sungai kira-kira jam 12.30 tengah hari.
10-Bagaimanapun, Sakirah tidak ditemui dan SAR diteruskan.
11-Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata siasatan awal mendapati gear kereta berada dalam kedudukan ‘drive’, dipercayai tertolak secara tidak sengaja, menyebabkan ia bergerak sendiri dan terjunam ke dalam sungai.
12-Kenderaan itu ditemui dalam keadaan terbalik dengan keempat-empat tayar masih berangin, menyebabkan ia sukar dikesan.
13-Pada 11 Jun 2025 (Rabu), jam 8 pagi selepas tiga hari gagal dikesan jasad Sakirah ditemui terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
14-Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera bagi tindakan lanjut.
HILANG ISTERI, TRAUMA MEMANCING LAGI
Kehilangan sakirah merupakan ujian berat buat Abdul Wahid dan pengorbanan besar isterinya itu amat diingati sepanjang hayatnya.
Mengakui sudah trauma memancing, anggota tentera di Kem Bera itu berkata insiden tersebut menjadi pengajaran besar buat dirinya.
"Saya ingin menasihatkan kepada orang lain supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi sungai kerana bencana, bahaya tidak kira masa," jelasnya sedang menuju ke Bangi ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Lebih memilukan, anak mereka, Aleesyah masih tidak mengerti tentang sebuah kehilangan.
Aleesyah masih tercari-cari dengan isterinya yang mesra dipanggil dengan gelaran 'mummy'.
"Anak dalam keadaan sihat cuma dia tidak mahu dengan orang lain kecuali saya buat masa ini.
"Saya akan memenuhi harapan arwah untuk membesarkan anak sebaik mungkin, agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara," tambahnya.
Difahamkan, Allahyarham Sakirah dikebumikan di tanah kelahirannya, Kampung Angan-Angan, Tenom, Sabah.
Takziah buat keluarga Allahyarham Sakirah Akob, al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian1, 2, 3, 4