PEMERGIAN secara mengejut 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyayat hati ahli keluarga.
Salah seorangnya Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang dikatakan sempat berkongsi momen terakhir menyambut ulang tahun kelahiran abangnya pada perayaan Aidiladha, 6 Jun lalu.
Menerusi laman sosial TikTok, pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI itu dilihat ‘berkomplot’ bersama ahli keluarga untuk memberikan kejutan kepada si abang.
"Langsung tak sangka... itu rupanya kali terakhir dia sambut hari jadi dengan adik kesayangan.
“Kepada satu-satunya adik iparku, harap syurga tempatmu berehat,” kongsi kakak iparnya menerusi akaun @dunia.khayalan.
Menurut kakak ipar, Allahyarham Fakhrul seorang yang ceria dan disayangi ahli keluarga.
“Arwah sangat ceria. Dia jenis mementingkan keluarga. Keluarga semua sayangkan dia, tapi tidak akan setanding dengan kasih sayang ALLAH kepada hamba-NYA,” kongsinya.
Warganet rata-rata tersentuh dengan perkongsian itu, lebih-lebih lagi selepas menyaksikan abangnya yang kelihatan sugul ketika pengebumian Fakhrul baru-baru ini.
“Tatapan kosong itu, saya kenal tatapan kosong itu.”
"Your husband looks so lost. I hope he’ll get stronger. Losing a sibling so near the date you laughed together seems like you can’t believe he’s gone… Al-Fatihah."
"Kadang-kadang kita hairan kenapa tiba-tiba orang itu beriya-iya ingin buat sesuatu untuk kita, rupanya itu kali terakhir."
"Yang sudah pergi, selesai urusannya di sini. Yang ditinggal membawa luka paling dalam dan tidak akan sembuh. Orang cakap ‘time will heal the pain’ but it's not. Time only blurs the pain and memories. Stay strong and be strong always."
Terdahulu, media melaporkan Fakhrul yang juga anak ketiga daripada lima beradik, sempat memberikan wang berjumlah RM21 kepada adik bongsunya, Nurul Effa Shahira Rosdi, 16.
Lebih menyayat hati, bapanya, Rosdi Yunus, 56, terpaksa membuat tiga kali pengecaman susulan keadaan fizikal anaknya yang tidak dapat dikenal pasti.
Akhirnya, Rosdi diminta menjalani ujian cap jari sebelum jenazah berkenaan disahkan sebagai Fakhrul.
Fakhrul turut didedahkan oleh pensyarahnya sebagai pelajar pintar, beradab, mempunyai akhlak yang baik dan sentiasa menjaga hati orang sekeliling.
Manakala majikannya pula mengakui, pemuda itu sentiasa menjaga solat ketika bekerja sambilan pada cuti semester yang lalu.
Sekadar makluman, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar selepas disolatkan bersama 12 lagi jenazah pelajar UPSI lain oleh kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Hadhari, Jerteh.
Sumber: TikTok