Kematian dicemburui, isteri meninggal di Tanah Suci ketika umrah, suami menyusul selepas tunai haji. 'Wajahnya tersenyum, sangat tenang'

Iklan

 

AJAL dan maut di tangan ALLAH. Rezekilah mereka yang menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci, di bumi penuh rahmat dan keberkatan yang tak terhingga.

Iklan
Iklan

Pemergian dicemburui seorang jemaah haji tular baru-baru ini. Dijemput ALLAH ketika melakukan ibadah, kembalinya Allahyarham ke rahmatullah menyusul isteri yang terdahulu menyentuh hati.

Perkongsian daripada jemaah haji, Rushdan Ashraf tentang pemergian Allahyarham di Abraj Al-Janadiriyyah, Maktab 89A pada jam 4 pagi, 12 Jun lalu akibat serangan jantung tidak hanya meruntun sanubari, malah menjadi inspirasi ramai untuk memperbaiki diri.

Iklan

Apatah lagi pemergiannya jemaah dari Selising, Pasir Puteh, Kelantan itu selepas selesai menunaikan Rukun Islam kelima itu dan selepas berniat untuk ke Masjidil Haram untuk solat berjemaah. Allahyarham benar-benar sudah mempersiapkan diri!

Iklan

"Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH. Izinkan saya berkongsi satu peringatan yang amat menyentuh hati peristiwa benar yang berlaku di Tanah Suci Makkah pagi ini.

"Seorang jemaah haji, Allahyarham Ghazali Ab Rahman, berusia 74 tahun, telah kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang sungguh mulia.

"Arwah menginap hanya dua bilik dari saya. Semalam, beliau demam sedikit, namun tetap tenang dan banyak berehat. Sekitar jam 1 pagi, beliau bangun kerana kesejukan, duduk seketika sebelum baring semula.

"Jam 2 pagi, arwah sebenarnya telah merancang bersama rakan sebilik untuk ke Masjidil Haram menunaikan solat Subuh berjemaah.

Namun, ketika dikejutkan tiada lagi respon. Bibirnya sudah membiru. Arwah telah pergi… tenang, di dalam bilik, dalam suasana ibadah, di bumi paling suci di atas muka bumi ini," titipnya.

Difahamkan, Allahyarham melazimi solat berjemaah dan solat-solat sunat di tempat suci bagi umat Islam di seluruh dunia iaitu Masjidil Haram yang memberikan 100,000 kali ganda pahala berbanding solat di tempat lain.

"Pesanan arwah kepada rakan sebiliknya, yang masih terngiang-ngiang dalam hati kami. Katanya “Kalau sehari satu waktu pun tak pergi solat di Masjidil Haram, lebih baik ambil tiket balik Malaysia.”

"Lihatlah, bagaimana seorang hamba ALLAH yang sudah uzur dan datang sendirian dari Kelantan, tetap menjaga solat berjemaah di Masjidil Haram setiap hari. Bukan dipaksa, bukan menunjuk-nunjuk tetapi kerana cinta dan takwa kepada ALLAH," titipnya.

Paling meruntun hati, pemergian Allahyarham Ghazali seolah mengikuti jejak isteri tercinta yang menghembuskan nafas terakhir di bumi yang barakah itu.

"Isteri arwah telah meninggal dunia dua tahun lalu di sini juga di Makkah, ketika menunaikan umrah.

"Dalam kesempatan haji ini, arwah sempat ziarah pusara isterinya seolah-olah menutup kisah cinta mereka di dunia dengan penuh kehormatan.

"Paling menggetarkan hati kami, beberapa hari sebelum meninggal, arwah telah mengemas semua barangnya dengan rapi sedangkan tarikh pulangnya ke Malaysia masih jauh. Seolah-olah beliau sudah tahu, bersedia dan reda.

"Wajahnya ketika dijemput maut sangat tenang seperti tersenyum. Inilah kematian yang dicemburui," titipnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi hikmah kematian mulia sahabatnya.

"Meninggal dalam ibadah di tempat mulia. Dalam keadaan bersih dan yang paling penting dalam keadaan bersedia.

"Sahabat sekalian, kematian adalah nasihat yang paling jujur. Ia datang tanpa menunggu. Tanpa memberi amaran. Tanpa mengira usia, sihat atau sakit.

"Adakah kita juga sudah bersedia seperti arwah? Sudah kemas 'bekalan' kita seperti arwah kemas begnya?

"Sudahkah kita cukupkan cinta kita kepada ALLAH seperti arwah cintakan Masjidil Haram?

"Ambillah iktibar. Perbaiki solat dan lembutkan hati. Bertaubatlah dan bersedialah kerana ajal tidak pernah lambat walau sesaat," kongsinya.

Terdahulu, berita duka pemergian Allahyarham dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Sumber: Facebook 1, 2, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan